
Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro, Ts. Mazli Mustaffa (tiga dari kanan) bersama Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, ketika lawatan ke tapak pembinaan Stesen Pertukaran ART di Simpang Tiga. Foto Sarawak Metro
KUCHING: Sarawak Metro Sdn Bhd (Sarawak Metro) memulakan lembaran baharu pada awal tahun ini selepas secara rasmi beralih status sebagai Syarikat Milik Negeri (SOE) yang dimiliki sepenuhnya oleh Setiausaha Kewangan Sarawak (SFS).
Sebelum ini, Sarawak Metro merupakan anak syarikat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan kini beroperasi sebagai SOE selaras dengan inisiatif penstrukturan strategik Kerajaan Sarawak bagi memperkemas tadbir urus korporat serta pelaksanaan agenda pembangunan negeri.
Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro, Ts. Mazli Mustaffa, berkata peralihan tersebut merupakan keputusan strategik kerajaan negeri bagi memastikan penyelarasan yang lebih berkesan dalam tadbir urus dan strategi pembangunan.

“Peralihan ini menandakan fasa yang amat mengujakan buat Sarawak Metro, namun pada masa sama membawa tanggungjawab yang lebih besar dengan lebih banyak hasil dan pencapaian yang perlu direalisasikan tahun ini serta pada masa akan datang,” katanya.
Beliau menegaskan komitmen berterusan Sarawak Metro untuk mentransformasikan sektor pengangkutan awam di Kuching, khususnya menerusi pelaksanaan Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).
Menurut Mazli, tahun ini dijangka mencabar berikutan pelaksanaan kerja-kerja infrastruktur berskala besar bagi projek KUTS, dengan fasa pertama operasi Transit Rapid Autonomi (ART) disasarkan bermula menjelang akhir 2026.
Pembinaan jajaran ART telah dimulakan sejak dua tahun lalu, bermula dengan Laluan Biru dan disusuli Laluan Merah, merangkumi pembinaan stesen serta lorong khas bagi rangkaian ART.
Selain itu, Sarawak Metro turut membangunkan depot ART bagi KUTS yang terletak di Rembus, Kota Samarahan.