Sarawak Metro julang Anugerah Kecemerlangan Penjenamaan Dunia

Facebook
WhatsApp
MAZLI (dua, kiri) menerima Anugerah Kecemerlangan Penjenamaan Dunia daripada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam sambil disaksikan (dari kiri) Tun Dato’ Seri Zaki Tun Azmi, Tan Sri Michael Yeoh dan Datuk Seri Mohamed Iqbal Rawther.

KUALA LUMPUR: Sarawak Metro Sdn. Bhd. terus mengharumkan nama Sarawak apabila menerima Anugerah Kecemerlangan Penjenamaan Dunia (World Branding Excellence Award) pada majlis anugerah sulung anjuran World Business Chamber (WBC) di ibu negara, malam tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro, Mazli Mustaffa menerima anugerah itu daripada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam pada majlis berkenaan.

Mazli berkata, pengiktirafan tersebut merupakan satu penghormatan besar kepada Sarawak Metro serta mencerminkan dedikasi seluruh warga kerja syarikat, selain kepercayaan dan sokongan berterusan daripada semua pihak berkepentingan.

“Pengiktirafan ini menjadi pemangkin kepada kami untuk terus mengekalkan standard tertinggi dari segi kecemerlangan, inovasi, prestasi dan penyampaian perkhidmatan,” katanya.

Menurut beliau, Sarawak Metro komited memastikan pelaksanaan Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) berjalan lancar demi menyediakan sistem pengangkutan awam moden dan mampan kepada rakyat Sarawak.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Penaung Kehormat WBC, Tun Dato’ Seri Zaki Tun Azmi, Presiden WBC, Tan Sri Michael Yeoh serta Pengerusi Economic Club of Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohamed Iqbal Rawther.