
KUCHING: Sarawak Metro Sdn Bhd (Sarawak Metro) sekali lagi menghantar sekumpulan kakitangan ke China pada Isnin lepas bagi mengikuti latihan industri sebagai sebahagian daripada Program Pembangunan Peningkatan Sosio-Ekonomi (SEED).
Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro, Ts. Mazli Mustaffa berkata, latihan industri terkini di CRRC Times Hunan, Signal & Communication Co Ltd di bandar Changsha, Wilayah Hunan itu mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam menghantar lebih ramai jurutera muda ke China bagi memperoleh pengalaman secara langsung serta pengetahuan khusus dalam sistem isyarat dan kawalan.
“Jurutera muda ini akan bertanggungjawab menguruskan sistem isyarat dan kawalan apabila projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) memasuki fasa operasi dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata, seperti latihan industri terdahulu, program terkini itu memberi pendedahan berharga kepada peserta untuk mempelajari secara terus daripada pengeluar serta rakan kongsi antarabangsa Sarawak Metro.
“Latihan industri terbaharu yang dianjurkan di bawah Program SEED Sarawak Metro sebelum ini berlangsung pada April dan Mei lalu, apabila peserta menghabiskan masa selama sebulan di kilang Sichuan CRRC SDIG Rail Transit Co Ltd di Yibin, Wilayah Sichuan,” katanya.
Mazli turut merakamkan penghargaan kepada EPR Mobilus GR JV Sdn Bhd (EMGJV), kontraktor Pakej Sistem 1 bagi Projek KUTS, atas sokongan berterusan dalam memudahkan pelaksanaan latihan industri di bawah Program SEED.
Bagi latihan industri terkini ini, seramai lima kakitangan terdiri daripada empat jurutera dan seorang eksekutif berlepas ke Changsha pada 6 Julai lalu untuk mengikuti program selama sebulan sehingga 7 Ogos.
Mereka terdiri daripada Jurutera Sistem, Nur Nafisa Abdullah; Jurutera Projek, Syammil Mohd Ishak; Jurutera Projek – Sistem Isyarat, Kawalan Kereta Api dan Pintu Platform Automatik, Farid Hamizan Roslan; Eksekutif Pusat Kawalan Operasi, Mohamad Ariffin Mohamad Ali Rahman; serta Jurutera Sistem Isyarat dan Komunikasi, Afiqah Mohammed Yunus.
Latihan industri berkenaan menjadi satu lagi pencapaian penting dalam usaha berterusan Sarawak Metro membangunkan jurutera muda dan kakitangan, selain memudah cara pemindahan ilmu serta teknologi kepada bakat tempatan dan melahirkan generasi pemimpin baharu dalam industri pengangkutan awam.
Inisiatif itu turut memberi peluang kepada peserta memperoleh pengalaman praktikal, memperkukuh kompetensi teknikal serta meningkatkan pemahaman terhadap aliran kerja kejuruteraan termasuk dokumentasi dan amalan jaminan kualiti.
Mazli berkata, Sarawak Metro sentiasa mengiktiraf kepentingan membudayakan pembelajaran berterusan serta inovasi dalam organisasi.Sejak pelaksanaan inisiatif latihan industri di bawah Program SEED pada 2022, pelbagai kumpulan kakitangan dan bakat muda telah dihantar ke China bagi mengikuti latihan industri.
Sarawak Metro kekal komited meneruskan inisiatif berkenaan sebagai sebahagian usaha membina tenaga kerja berkemahiran tinggi dan profesional bagi memperkukuh industri pengangkutan awam negeri.