KUCHING: Sarawak Metro mengarahkan kerja pembinaan di tapak Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) di Simpang Tiga dihentikan sementara susulan kemalangan yang mengorbankan seorang pekerja binaan warga Nepal pagi tadi.
Dalam kenyataan hari ini, Sarawak Metro memaklumkan arahan itu dikeluarkan bagi memberi laluan kepada siasatan pihak berkuasa selepas mangsa terjatuh dari struktur setinggi 14 meter ketika menjalankan kerja pemasangan dek konkrit kira-kira 8.30 pagi.
“Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital berhampiran, namun disahkan meninggal dunia tidak lama selepas menerima rawatan,” katanya.
Menurut Sarawak Metro, pihaknya bersama kontraktor projek sedang memberikan kerjasama penuh kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan berhubung punca kejadian.
“Arahan henti kerja itu hanya melibatkan lokasi kejadian dan akan kekal berkuat kuasa sehingga siasatan selesai dijalankan oleh pihak berkuasa berkaitan,” jelasnya.
Sarawak Metro turut menegaskan komitmennya untuk memastikan standard keselamatan sentiasa dipatuhi di semua tapak pembinaan projek KUTS, selain akan memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang proses siasatan berlangsung.




