
KUCHING: Sarawak Metro Sdn Bhd menganugerahkan kontrak pembekalan stesen pengisian hidrogen mudah alih kepada sebuah syarikat usaha sama membabitkan CRRC MRT Holdings Group Co Ltd dan Urban Empire Builders Sdn Bhd.
Kontrak bernilai RM9.74 juta itu merangkumi kerja-kerja reka bentuk, pembekalan, penghantaran, pemasangan, ujian dan pentauliahan stesen pengisian hidrogen mudah alih bagi projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (Kuching Urban Transportation System – KUTS).
Sarawak Metro dalam kenyataan memaklumkan sebanyak tujuh tawaran diterima ketika penutupan tender pakej kontrak berkenaan pada 1 November tahun lalu.

Majlis menandatangani surat penerimaan kontrak berkenaan diadakan hari ini di pejabat korporat Sarawak Metro. Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro, Mazli Mustaffa mewakili syarikat berkenaan, manakala pihak usaha sama diwakili oleh Pengurus Besar CRRC MRT Holdings Group, Zhao Junkui dan Pengarah Urban Empire Builders, Mike Chin Yuan Tai.
Dalam ucapannya, Mazli menekankan kepentingan memastikan stesen pengisian hidrogen mudah alih itu siap menjelang pelancaran operasi KUTS pada suku keempat tahun depan.
“Bersama loji pengeluaran dan stesen pengisian hidrogen di depot Rembus, Kota Samarahan, kami menjangkakan kontraktor dapat menyiapkan stesen pengisian hidrogen mudah alih ini tepat pada masanya bagi meningkatkan fleksibiliti pengisian semasa operasi kenderaan Autonomous Rapid Transit (ART) serta bas pengantara,” katanya.