
KUCHING: Sarawak mengambil satu lagi langkah untuk memperkukuh jaminan tenaganya dan kelestarian alam sekitar dengan memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama dua syarikat terkemuka China bagi membangunkan projek solar terapung di takungan Loji Hidroelektrik (HEP) Bakun.
Menurut Sarawak Energy Bhd dalam kenyataan, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi negeri, China Three Gorges International Ltd (CTGI) dan Shanghai Electric Power T&D Group Co Ltd menandatangani MoU itu hari ini di Persidangan dan Pameran Antarabangsa Solar Fotovoltaik dan Tenaga Pintar (SNEC PV Expo) 2025 di Shanghai.
“Perjanjian itu menetapkan rangka kerja bagi kerajaan Sarawak, CTGI dan Shanghai Electric Power untuk sama-sama menjalankan pelbagai kajian dan bekerjasama dalam pembangunan potensi kemudahan solar terapung dengan kapasiti tidak melebihi 1,000 megawatt (MW) di takungan HEP Bakun,” katanya.
Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Jafri Lias, Naib Presiden CTGI Zhang Kai Hong dan Naib Presiden Shanghai Electric Power Yang Xing Hai menandatangani MoU tersebut.
Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan Petros) serta Pengerusi Sarawak Energy Datuk Ibrahim Baki mewakili Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyaksikan majlis itu bersama Datuk Bandar Shanghai Gong Zheng dan Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Group Datuk Sharbini Suhaili.
Abang Johari, dalam ucaptama yang dibacakan oleh Ibrahim, berkata pakatan strategik dengan rakan industri yang kukuh seperti CTGI dan Shanghai Electric, akan menyokong matlamat Sarawak untuk memastikan jaminan tenaga dan kelestarian alam sekitar.
“Menjelang 2030, Sarawak menyasarkan kapasiti penjanaan sebanyak 10 gigawatt (GW) dan 15 GW pada 2035, dengan sumber boleh baharu menyumbang lebih 60 peratus daripada campuran kapasiti.
“Dengan sumber tenaga boleh baharu (RE) yang banyak, Sarawak mempunyai potensi untuk menjadi kuasa RE di rantau ini,” katanya.
Beliau turut menggariskan dasar RE Sarawak yang progresif untuk mempercepat peralihan tenaga, termasuk pindaan kepada Ordinan Elektrik negeri bagi menggalakkan pembangunan solar berskala besar, penjanaan elektrik dan penyertaan pengeluar tenaga bebas.
Sebuah ladang solar terapung dengan kapasiti 50 MW, dipasang pada Disember tahun lepas di Empangan Hidroelektrik Batang Ai seluas 190 hektar, merupakan pemasangan solar berskala besar pertama Sarawak yang menggabungkan skim hidroelektrik dan tenaga solar.– Bernama