KUCHING: Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat kini menyasarkan sekurang-kurangnya satu keluarga satu graduan.
Menterinya, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata negeri ini juga menyasarkan untuk melahirkan lebih 10,000 graduan diploma dan ijazah dari institusi pengajian awam mahupun swasta tahun ini.
“Tidak kira sama ada mereka di peringkat sijil mahupun ijazah tapi lagi baik kalau semua anak-anak dapat masuk ke peringkat sijil ataupun ijazah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan pembukaan Pusat Pendidikan dan Kaunseling Inti International University & Colleges di Gala City, hari ini.
Bagaimanapun katanya, apa yang penting sekali ialah untuk mengambil bidang yang diperlukan di pasaran pada masa sekarang.
“Kita perlu melihat kepada apa yang diperlukan oleh industri, sudah tentu kita dahulu tidak ada data mengenai industri-industri yang ada di Sarawak.
“Kita tidak mahu mereka menjadi operator sahaja, tetapi juga juruteknik yang di dalam industri itu dan kita mesti ada orang yang mahu mengambil pekerjaan ini.
“Kita telah memulakan pengumpulan data dan melihat jenis industri yang diperlukan.
“Kita juga berdasarkan kepada pembangunan terkini yang dibuat oleh kerajaan serta industri dalam kerja teknikal.
“Jika syarikat dari luar membawa pekerja mereka ke sini dan bukannya anak watan yang memegang jawatan tersebut maka, cabarannya adalah pada kita,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengalakkan anak tempatan untuk mengambil kursus teknikal bukan sekadar di peringkat ijazah sarjana muda tetapi boleh juga melanjutkan pengajian ke peringkat sijil atau kolej teknikal.
“Ada baiknya lagi jika mereka pergi ke kolej teknikal untuk mendapatkan sijil atau diploma yang turut diiktiraf di seluruh dunia.
“Kalau kita buat perbandingan, mereka yang berkemahiran, gaji mereka lebih besar daripada yang mempunyai ijazah,” katanya.
Oleh NICKELYSON LAKUN