Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Sarawak menuju status wilayah mesra warga emas
  • TEMPATAN

Sarawak menuju status wilayah mesra warga emas

Utusan Sarawak 11 hours ago
TIMBALAN Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian membacakan teks ucapan Premier Sarawak sempena perasmian Persidangan Antarabangsa Sarawak Mengenai Penuaan (SICA) 2025 di sebuah hotel terkemuka di Kuching, hari ini. Foto UKAS 

KUCHING: Sarawak bertekad menjadi negeri contoh dalam memperkasa golongan warga emas dengan memastikan mereka terus dihargai dan menikmati peluang yang sama seperti kumpulan umur lain.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, usaha itu digerakkan melalui pelaksanaan dasar penuaan yang inklusif bagi membina masyarakat yang menghormati dan menyokong keperluan warga emas di seluruh negeri.

Beliau menegaskan bahawa setiap lapisan masyarakat perlu memainkan peranan dalam menjayakan hasrat tersebut, termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang disaran mereka bentuk kemudahan awam, ruang rekreasi dan infrastruktur yang lebih mesra warga emas.

“Langkah ini penting bagi memastikan keselamatan, keselesaan dan akses yang lebih mudah untuk semua, khususnya golongan berusia,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian di Persidangan Antarabangsa Sarawak Mengenai Penuaan (SICA) 2025 di sebuah hotel terkemuka di Kuching, hari ini.

Menurut beliau, Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) bersama Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (MPHLG) akan memperkukuh ekosistem sokongan dengan menyediakan akses lebih baik kepada perkhidmatan kesihatan, sosial dan bantuan kewangan.

“Kerjasama rentas kementerian ini akan memastikan warga emas Sarawak, sama ada di bandar mahupun luar bandar, mendapat perhatian sewajarnya agar mereka terus sihat dan aktif dalam komuniti,” tambahnya.

Premier turut menekankan bahawa peningkatan jumlah warga emas di negeri ini menuntut tindakan segera untuk memperkukuh sistem perlindungan sosial serta kemudahan penjagaan kesihatan.

“Pendekatan penuaan yang lebih bersepadu kini sedang dilaksanakan melalui kerjasama antara hospital, pusat komuniti, penjagaan primer dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan kesejahteraan menyeluruh warga emas,” jelasnya.

Beliau turut memuji inisiatif seperti Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), Pusat Perkhidmatan Warga Emas (PPWE) dan program promosi kesihatan yang disifatkan sebagai tonggak penting dalam usaha membina masyarakat penyayang dan prihatin terhadap keperluan warga emas.

“Melalui inisiatif ini, kita mahu setiap warga emas, tidak kira sama ada tinggal di pusat bandar atau rumah panjang di pedalaman, dapat menikmati akses kepada perkhidmatan yang disediakan kerajaan negeri,” katanya.

Persidangan SICA 2025 dilihat sebagai platform penting yang menghimpunkan pakar, pembuat dasar dan pengamal industri bagi membincangkan idea serta strategi ke arah mewujudkan masyarakat mesra penuaan di Sarawak.

Oleh Adele Rissa

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Ceramah Perdana bersama Ustaz Dr Abdullah Khairi di Betong, 8 November ini
Next: Malaysia akhiri Kepengerusian ASEAN 2025, berjaya laksana peranan – PM Anwar

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.