SELANG sehari dari hari ini kita akan melangkau ke tarikh 1 Julai. Kenapa pentingnya tarikh tersebut kepada kita? Mungkin tarikh tersebut ialah hari-hari biasa bagi kita tetapi 75 tahun lalu, tercatat peristiwa penting dalam kalendar sejarah Sarawak. Pada tarikh 1 Julai 1946 Sarawak menjadi jajahan British yang mencetuskan bantahan sebahagian besar penduduk Sarawak. Hal ini kerana mereka menolak penjajahan British, sedangkan beberapa negara Asia ketika itu menuju ke arah kemerdekaan.
Bagaimana peristiwa ini boleh berlaku? Pada awal abad ke-19, British tidak mempunyai minat terhadap Sarawak kerana penjajahan Sarawak akan membawa masalah kewangan dari segi mentadbir Sarawak. British juga tidak mahu menimbulkan masalah dengan Belanda yang berada di Kalimantan ketika itu. Mereka senang dengan kehadiran pemerintahan Raja Brooke di Sarawak yang keluarga Brooke ini ialah warganegara British. Pada tahun 1888 pula, kuasa dan pengaruh British ke atas Sarawak dimaterai dalam perjanjian naungan dengan kerajaan Brooke. Perjanjian ini membolehkan British menguasai hal ehwal hubungan luar negara dan pertahanan Sarawak.
Selepas itu, British memberi kebebasan kepada pemerintahan Brooke mentadbir Sarawak sehingga pemerintahan Raja Vyner Brooke. Pada era Vyner Brooke ini, British menunjukkan usaha untuk menguasai Sarawak kerana melihat pentadbiran Brooke tidak lagi sesuai ketika itu.
Usaha menguasai Sarawak diteruskan semasa Perang Dunia Kedua. Idea British mewujudkan kawalan langsung terhadap Sarawak membawa kepada usaha untuk menyatukan Sarawak (termasuk Sabah dan Brunei) dengan Tanah Melayu menerusi penubuhan Malayan Union. Namun, idea ini tidak dijalankan, dan idea Malayan Union hanya direncanakan untuk diperkenalkan di Tanah Melayu, manakala Sarawak akan menjadi koloni British.
Ketika itu, Raja Vyner Brooke telah menubuhkan kerajaan sementara di London di bawah pimpinan anak saudara beliau, iaitu Anthony Brooke. Kerajaan sementara itu juga ditubuhkan untuk membincangkan soal penyerahan Sarawak kepada British. Namun demikian, Anthony Brooke bersama-sama ahli dalam kerajaan sementara itu menolak cadangan ini. Pihak British kemudiannya merujuk semula hal ini kepada Raja Vyner Brooke tentang penolakan ini. Akhirnya Raja Vyner Brooke membubarkan kerajaan sementara itu, dan mengambil keputusan untuk menyerahkan Sarawak kepada British.
Persetujuan ini melegakan British, dan langkah seterusnya dilakukan oleh British dengan kerjasama Raja Vyner Brooke mendapat Sarawak menerusi undang-undang. Langkah pertama dilakukan adalah mendapat persetujuan ahli peribumi Majlis Tertinggi Sarawak tentang penyerahan Sarawak kepada British. Raja Vyner Brooke menghantar Setiausaha Sulit beliau, iaitu Gerard MacBryan ke Sarawak untuk mendapatkan tandatangan ahli peribumi ini yang terdiri daripada Datu-Datu. Beliau telah berjumpa seorang demi seorang golongan Datu ini, dan Datu Patinggi Abang Abdillah mengesyaki tindakan MacBryan ini cuba menyogok para Datu ini untuk mendapat tandatangan mereka tentang penyerahan ini. Semasa lawatan Mac Bryan ini, beliau juga membawa sejumlah wang untuk diberikan kepada para Datu ini dengan alasan untuk membayar elaun mereka semasa perang.
Seterusnya Parlimen British di London mengesyorkan kepada Setiausaha Tanah Jajahan untuk membuat tinjauan di Sarawak. Cadangan ini telah diterima oleh Setiausaha Tanah Jajahan, dan pada Mei 1946, Capt. Gammans dan Lt. Colonel Rees-William telah dihantar ke Sarawak untuk membuat tinjauan. Kedua-dua wakil British ini telah pergi ke pelbagai tempat di Sarawak. Tinjauan dilakukan oleh kedua-dua wakil British ini hanya bertemu dengan pemimpin masyarakat yang tidak begitu faham akan implikasi penyerahan tersebut. Oleh sebab itu, terdapat pelbagai pendapat tentang penyerahan daripada yang menyokong demi kemajuan, menyokong dengan syarat, dan menentang kerana Sarawak adalah hak penduduk peribumi.
Setelah itu, cabaran besar bagi British adalah mendapat persetujuan daripada ahli-ahli Council Negeri. Council Negeri adalah dewan perhimpunan bagi penduduk Sarawak daripada pelbagai kaum, termasuk orang Cina. Tambahan daripada itu, ahlinya juga terdiri daripada kalangan kakitangan Brooke.
Satu sidang Council Negeri telah diadakan pada 15 Mei 1946 bagi mendapatkan persetujuan Dewan tersebut. British dengan kerjasama Raja Vyner Brooke menjalankan pelbagai tektik untuk menghalang Dewan tersebut menolak usul penyerahan. Antara usaha dilakukan termasuklah meminta pegawai Brooke seperti R. G. Aikman yang menentang penyerahan di Australia agar tidak balik ke Sarawak semasa sidang Dewan tersebut berlangsung. Raja Vyner Brooke juga meletakkan dua pegawainya, iaitu T. Corson dan F. H. Pollard yang condong menentang penyerahan dalam senarai bersara, walaupun belum mencapai umur bersara. Manakala ahli lain dari Sarawak yang datang bermesyuarat dalam Council Negeri ditemu ramah oleh Pemangku Setiausaha Sarawak, J. B. Archer untuk mengundi menyokong penyerahan Sarawak kepada British.
Manakala bacaan dan perbincangan dalam Dewan tersebut pula lebih kepada bahasa Inggeris yang rata-rata tidak difahami sebahagian besar ahli peribumi dalam Dewan tersebut. Namun, pihak British membenarkan hujah-hujah kedua-dua pihak yang menyokong dan menentang untuk didengar daripada pelbagai bahasa etnik di Sarawak.
Akhirnya persidangan Dewan itu telah membuat pengundian pada bacaan pertama dengan 18 menyokong penyerahan dan 16 menentang penyerahan. Manakala bacaan ketiga pula menyaksikan 19 menyokong penyerahan dan 16 masih tidak berganjak untuk membantah penyerahan. Kalau mengikut bilangan ini, maka British telah mendapat sokongan untuk menjadikan Sarawak sebagai koloni baharunya.
Namun demikian, pihak yang menentang penyerahan mempertikaikan proses pengundian yang dianggap mengelirukan. Hal ini kerana, mereka mendapati bahawa jumlah ahli peribumi yang menentang penyerahan lebih ramai daripada ahli peribumi yang menyokong. Hal yang sedemikian ini menunjukkan bahawa majoriti penduduk Sarawak ketika itu menentang penyerahan tersebut. Jikalau dikeluarkan ahli bukan peribumi, undi wakil peribumi yang menentang penyerahan adalah 13 dan ahli peribumi yang menyokong pula, 11. Walau bagaimanapun, bantahan dan hujah pihak menentang penyerahan ini tidak dihirau oleh British.
British pula memainkan isu perkauman dengan mengatakan ahli peribumi dalam Council Negeri dikuasai oleh orang Melayu. British mengguna segala daya untuk menjayakan usaha penyerahan ini.
Akhirnya, 1 Julai 1946, telah diisytiharkan sebagai hari penyerahan dan pada masa sama, status Sarawak bertukar kepada status jajahan mahkota. Pada tarikh itu juga C. W. Dawson dilantik sebagai Pemangku Gabenor. Gabenor pertama, iaitu Charles Arden-Clarke hanya dilantik pada pertengahan Julai 1946.
Perisytiharaan Sarawak menjadi tanah jajahan Mahkota tidak mematikan semangat penentang terhadap penyerahan. Golongan antipenyerahan meneruskan perjuangan mereka untuk menyedarkan penduduk Sarawak tentang implikasi penyerahan terhadap status Sarawak.