Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Sarawak melangkah pantas ke arah negeri berteknologi tinggi melalui STEM
  • PENDIDIKAN

Sarawak melangkah pantas ke arah negeri berteknologi tinggi melalui STEM

Utusan Sarawak 13 hours ago
TAHNIAH… Datuk Dr Penguang Manggil menyampaikan Anugerah Wijaya Permata kepada Muhammad Danish Azfar Saharudin.

MARUDI: Generasi muda merupakan pelapis utama negeri yang perlu diberikan perhatian bagi memastikan modal insan dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) mencukupi dan berkemahiran tinggi untuk memacu pembangunan negara.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Dr Penguang Manggil berkata perkara ini berkait rapat dengan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang merupakan asas terpenting bagi penghasilan modal insan serta memupuk minat para pelajar terhadap STEM.

Menurut beliau, sistem pendidikan di Malaysia kini memperkukuh dasar pendidikan negara dengan memberi tumpuan kepada empat bidang penting menerusi haluan pendidikan negara iaitu Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi.

Katanya, matlamat STEM adalah untuk melahirkan pelajar yang mempunyai literasi STEM dan berupaya mengenal pasti, mengaplikasi serta mengintegrasikan konsep dan komponen STEM untuk memahami masalah dan menyelesaikannya secara kreatif serta inovatif.

“Berdasarkan hakikat bahawa sistem pendidikan adalah kompleks dan pelbagai, setiap negara memerlukan tempoh yang panjang untuk melihat impak sistem pendidikan yang disediakan hari ini,” katanya semasa berucap pada perasmian Majlis Apresiasi dan Aspirasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Marudi 2025 yang diadakan di Dewan SMK Marudi hari ini.

CEMERLANG… Paula Ronnie Robert menerima Anugerah Wijaya Permata disampaikan Datuk Dr Penguang Manggil.

Beliau menambah, Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengambil tindakan berani dan pantas kerana perubahan yang dihasratkan adalah penting dan mesti dilaksanakan segera.

Dalam pada itu, beliau menegaskan Sarawak sedang melangkah pantas ke arah negeri berteknologi tinggi melalui pelbagai inisiatif seperti ekonomi digital, pembangunan tenaga boleh diperbaharui, serta transformasi dalam sektor perindustrian dan pertanian pintar.

“Untuk merealisasikan cita-cita ini, kita memerlukan anak-anak Sarawak yang menguasai ilmu STEM, iaitu mereka yang mampu mencipta penyelesaian bagi cabaran tempatan seperti pembangunan luar bandar, tenaga lestari serta inovasi dalam perkhidmatan awam dan pendidikan,” katanya.

Tambah beliau, dengan pendidikan STEM, pelajar di Sarawak bukan sahaja dapat membuka peluang kerjaya yang luas dalam negeri, malah berpeluang menjadi sebahagian daripada tenaga profesional yang diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“STEM sangat penting untuk masa depan pelajar kerana ilmu ini pastinya dapat memberikan kuasa kepada kita untuk membina negeri yang makmur, moden dan berdaya saing di rantau Asia Tenggara,” jelas Penguang.

Dalam pada itu, diumumkan dua pelajar cemerlang yang masing-masing menerima Anugerah Wijaya Permata, iaitu Paula Ronnie Robert dari Tingkatan U6 Proactive dan Muhammad Danish Azfar Saharudin dari Tingkatan 5 Einstein.

Oleh Jiku Jukuong

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Wilfred Yap encourages students to strive for excellence and embrace innovation
Next: Penghargaan buat guru, ibubapa tunjang kekuatan anak-anak hadapi peperiksaan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.