
KUCHING: Sarawak terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pemain utama industri tenaga serantau apabila Projek Platform Pengeluaran Sirung dilihat menjadi pemangkin baharu kepada pembangunan ekonomi negeri dan agenda tenaga jangka panjang.
Dalam suasana penuh signifikan itu, pemeteraian kontrak Kejuruteraan, Perolehan dan Pembinaan (EPC) bagi projek berkenaan disifatkan sebagai langkah strategik yang memperkukuh hala tuju Sarawak dalam mengurus sumber asli secara lebih berimpak tinggi.
Dalam ucapannya, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pemeteraian kontrak tersebut bukan sekadar urusan komersial, sebaliknya mencerminkan visi besar Sarawak dalam membangunkan kekayaan sumber demi manfaat jangka panjang rakyat.
“Projek Sirung bukan sekadar kontrak komersial, tetapi lambang bagaimana Sarawak mengurus kekayaan sumbernya untuk menjana manfaat jangka panjang kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata projek berkenaan turut menggambarkan bagaimana Sarawak menterjemahkan sumber asli kepada nilai ekonomi sebenar yang akhirnya kembali kepada rakyat dalam bentuk pembangunan dan kesejahteraan.
“Kita tidak sekadar mengeksploitasi sumber, tetapi menterjemahkannya kepada nilai sebenar yang kembali dalam bentuk pembangunan, peluang dan kesejahteraan rakyat Sarawak,” ujarnya.
Menurut beliau, pembangunan projek strategik seperti sirung adalah selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menyasarkan Sarawak menjadi negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Beliau turut menegaskan bahawa kekuatan fiskal negeri terus menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan pencapaian hasil tertinggi RM14.187 bilion pada tahun 2024, sekali gus membuktikan asas ekonomi Sarawak yang semakin kukuh.
Struktur hasil baharu termasuk Cukai Jualan Negeri ke atas petroleum serta peranan institusi tenaga negeri, Petroleum Sarawak Berhad (Petros), turut menjadi pemangkin kepada pengukuhan kedudukan kewangan negeri.
Projek Sirung yang dibangunkan bersama PTTEP Sarawak Oil Limited dijangka mula beroperasi sekitar 2028 dengan kapasiti pengeluaran kira-kira 15,000 tong sehari, sekali gus membuka ruang baharu kepada sektor tenaga Sarawak.
Projek itu turut direka dengan teknologi moden termasuk operasi luar pesisir automatik serta pendekatan tanpa pembakaran rutin (zero routine flaring), sejajar dengan komitmen kelestarian alam sekitar negeri ini.

Dalam pada itu, Premier Sarawak menegaskan bahawa setiap peningkatan hasil negeri akan diterjemahkan kepada pembangunan rakyat termasuk infrastruktur asas, pendidikan, kesihatan, kemudahan luar bandar serta program kebajikan sosial.
“Setiap projek tenaga bukan hanya tentang angka ekonomi, tetapi tentang kehidupan sebenar rakyat yang berubah jalan lebih baik, peluang lebih luas dan kesejahteraan yang lebih menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pemeteraian kontrak antara Brooke Holding Sdn Bhd dan PTTEP Sarawak Oil Limited yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Beliau turut menzahirkan sokongan terhadap penglibatan syarikat tempatan seperti Brooke Holding Sdn Bhd yang diberi kepercayaan dalam pelaksanaan projek berimpak tinggi ini.
Katanya, Sarawak perlu terus melahirkan syarikat yang bukan sahaja beroperasi, tetapi mampu bersaing di peringkat antarabangsa dengan profesionalisme tinggi.
Dalam ekosistem ekonomi yang semakin berkembang, institusi kewangan seperti Affin Bank turut memainkan peranan menyokong pembiayaan projek strategik, sekali gus memperkukuh daya tahan ekonomi negeri.
Sarawak kini tidak hanya bergantung kepada sektor minyak dan gas semata-mata, sebaliknya sedang melangkah ke bidang baharu seperti ekonomi hidrogen, tenaga boleh diperbaharui, industri hiliran, digital serta teknologi maju termasuk semikonduktor dan aeroangkasa.
Beliau menyifatkan pemeteraian kontrak EPC Projek Sirung sebagai bukti kukuh keyakinan pelabur terhadap Sarawak serta simbol kekuatan hala tuju ekonomi negeri yang semakin matang dan berwibawa.
Oleh Norman B