Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Sarawak melangkah digital, SMART600 ubah landskap komunikasi pedalaman
  • SEMASA

Sarawak melangkah digital, SMART600 ubah landskap komunikasi pedalaman

Utusan Sarawak 13 hours ago
DATO Ir Ts Sudarnoto Osman, Ketua Pegawai Eksekutif SDEC (kiri) menandatangani memorandum perjanjian (MoU) bersama Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din di Ibu Pejabat MCMC di Cyberjaya.

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) terus mengorak langkah memperkukuh kesalinghubungan digital luar bandar menerusi pelaksanaan Projek SMART600 iaitu Projek Telekomunikasi Luar Bandar Lembaga Multimedia Sarawak (SMART) yang melibatkan pembinaan 600 menara telekomunikasi baharu di kawasan pedalaman Sarawak.

Komitmen kedua-dua pihak ini dimeterai dalam satu majlis menandatangani perjanjian di Ibu Pejabat MCMC di Cyberjaya, yang menyaksikan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Dato Ir Ts Sudarnoto Osman menandatangani dokumen kerjasama strategik tersebut.

Melalui projek ini, sebanyak 600 menara komunikasi baharu akan dibina secara berfasa, 300 menara bagi setiap fasa yang dijangka menyediakan perkhidmatan mudah alih 4G berkualiti tinggi kepada lebih 1,000 lokasi luar bandar termasuk kawasan seperti Belaga, Marudi, Sungai Belawai, Kapit dan Sungai Encheremin serta memberi manfaat kepada lebih 180,000 penduduk.

Sehingga kini, 587 menara telah siap dibina dengan 431 menara telah diaktifkan secara siaran langsung menggunakan teknologi Rangkaian Teras Pelbagai Pengendali (MOCN) manakala selebihnya akan diaktifkan secara berperingkat.

Pelaksanaan SMART600 juga membuka ruang kepada akses internet berkelajuan tinggi, menyokong aplikasi penggunaan data besar seperti kecerdasan buatan (AI), penstriman video, perkhidmatan awam digital dan teknologi Internet Kebendaan (IoT).

Pengguna turut diberi pilihan melalui lima syarikat Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) dan Perkhidmatan Rangkaian Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak (MySRBN) kendalian kerajaan Sarawak yang berkongsi infrastruktur menerusi susunan MOCN.

Projek ini juga mencerminkan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak, di mana SDEC menanggung perbelanjaan modal (CAPEX) untuk pembinaan, manakala MCMC dan pengendali rangkaian (CelcomDigi, Maxis, U Mobile dan YTL Communications) menyumbang kepada perbelanjaan operasi (OPEX) bagi menjamin kelangsungan operasi menara di kawasan yang mencabar dari segi geografi dan ekonomi.

Projek SMART600 turut menyokong pelaksanaan  Pelan Induk Ekonomi Digital Sarawak 2030 (SDB 2030), dengan aspirasi memperkasa ekonomi digital luar bandar menaik taraf sosioekonomi rakyat Sarawak serta memastikan tiada komuniti yang tercicir dalam arus pembangunan digital negara.

Turut hadir menyaksikan majlis ini ialah Pengerusi SDEC, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, bersama pegawai kanan MCMC dan SDEC.

Inisiatif ini menandakan satu lagi langkah besar dalam memastikan ketersambungan digital yang saksama dan mampan di seluruh Sarawak seiring dengan agenda pendigitalan negara.

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Sarawak cadang tubuh platform pensijilan hidrogen, perkukuh integriti pasaran
Next: Air deras di Puncak Kinabalu, pendaki berdepan detik cemas

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.