SHAH ALAM: Sarawak masih mempunyai peluang untuk merampas kedudukan ketiga daripada Terengganu pada hari terakhir Sukan Malaysia (Sukma) XXII Selangor 2026 selepas hanya dipisahkan satu pingat emas dalam pemburuan podium.
Setakat 12.00 tengah malam tadi, Terengganu berada di tempat ketiga dengan 41 emas, 44 perak dan 35 gangsa, manakala Sarawak di kedudukan keempat dengan 40 emas, 40 perak dan 62 gangsa.
Menyedari perbezaan tipis itu, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, menyuntik semangat kontinjen Sarawak supaya memberikan aksi terbaik pada saingan terakhir hari ini bagi memburu kedudukan ketiga.
Beliau berkata, berdasarkan perkembangan pungutan pingat semasa, Sarawak berkemungkinan menamatkan saingan di kedudukan ketiga atau keempat, namun sasaran kini jelas untuk memintas Terengganu.
“Kita akan berusaha untuk esok (hari ini). Saya boleh lihat kita akan berada di kedudukan tiga atau empat. Kemungkinan besar nombor tiga atau nombor empat.
“Kalau ditanya mahu pilih ketiga atau keempat, sudah tentu kita akan cuba pergi untuk kedudukan ketiga,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam santai bersama Ketua Kontinjen (CDM) dan Timbalan Ketua Kontinjen bagi setiap sukan di sebuah hotel terkemuka di Shah Alam, malam tadi.
Abdul Karim berkata, kejayaan Sarawak mengumpul jumlah pingat yang tinggi pada edisi kali ini wajar dibanggakan, lebih-lebih lagi persaingan semakin sengit apabila kebanyakan kontinjen lain turut menunjukkan peningkatan prestasi.
Beliau berkata, Sarawak bukan sahaja bersaing untuk kedudukan dalam pungutan pingat, malah perlu melihat pencapaian itu dalam konteks saingan yang semakin kompetitif.
“Kalau sudah dapat lebih kurang atas 20 pingat, lihat berapa banyak negeri yang mencapainya. Ini menunjukkan medan persaingan semakin sukar.
“Jadi, pada masa depan, untuk kita menjadi lebih baik, kita perlu beraksi lebih baik daripada kebanyakan kontinjen lain,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Karim berkata satu sesi post mortem menyeluruh akan dilakukan sebaik sahaja kontinjen Sarawak kembali ke Kuching bagi menilai prestasi setiap sukan serta mengenal pasti ruang penambahbaikan.
Menurutnya, penyertaan dalam acara yang lebih banyak perlu diberi perhatian kerana jumlah penyertaan yang rendah dalam sesuatu sukan boleh mengehadkan peluang Sarawak untuk mengumpul pingat emas.
“Apabila kita mempunyai jumlah acara yang banyak dalam sesuatu sukan, kita perlu mengambil bahagian dalam banyak acara, sekurang-kurangnya separuh atau dua pertiga daripadanya.
“Kalau ada 15 acara dalam satu sukan tetapi kita hanya menyertai separuh daripadanya dengan harapan untuk mendapatkan satu emas, itu bermakna sebelum kita masuk ke kolam atau gelanggang lagi, kita sudah kalah,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat





