
PETRA JAYA: Sarawak terus memperkukuh strategi pembangunan bakat sebagai tunjang utama dalam menjadikan aeroangkasa antara industri masa depan negeri ini, sejajar aspirasi untuk muncul sebagai ekonomi berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2030.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, berkata kerajaan negeri melaksanakan pendekatan menyeluruh berasaskan pendidikan dan pembangunan modal insan bagi memastikan Sarawak memiliki tenaga kerja berkemahiran tinggi, berdaya saing serta bersedia menghadapi perubahan teknologi global.
Menurutnya, pendidikan menjadi asas tidak boleh dirunding dalam strategi aeroangkasa Sarawak, bermula daripada pendedahan awal STEM sehinggalah ke peringkat kejuruteraan lanjutan, pensijilan profesional serta laluan penyelidikan ke arah pengkomersialan.
“Kerajaan Sarawak melaksanakan strategi dua serampang, iaitu memperluas akses pendidikan dan memperhalusi pembangunan bakat berketepatan tinggi bagi memenuhi keperluan industri strategik,” katanya majlis penutupan Persidangan dan Pameran Aeroangkasa Asia Pasifik (APACE 2026) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan Skim Pendidikan Tertiari Percuma (FTES) merupakan manifestasi komitmen kerajaan negeri dalam melahirkan generasi bakat masa depan dengan menyediakan pembiayaan penuh bagi 64 program ijazah sarjana muda di universiti milik kerajaan Sarawak.
“FTES bukan sahaja menghapuskan halangan kewangan, malah memastikan belia Sarawak dapat disalurkan terus ke industri yang akan membentuk masa depan ekonomi negeri,” jelasnya.
Dalam usaha memperkukuh kualiti pendidikan, Sarawak turut melaksanakan Program Dwi Bahasa dengan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris serta memperkenalkan UP-DLP Sarawak, penilaian piawai bagi murid Tahun Enam dan Tingkatan Tiga dengan kerjasama Penerbitan dan Penilaian Universiti Cambridge
Selain itu, katanya, kerajaan negeri terus menaik taraf infrastruktur sekolah, memperkukuh latihan guru secara berstruktur serta menubuhkan sekolah menengah antarabangsa menggunakan kurikulum Sijil Pelajaran Menengah Antarabangsa (IGCSE).
Mengulas pembangunan bakat aeroangkasa, beliau berkata Kolej Universiti i-CATS telah memeterai dua kerjasama penyelidikan baharu melibatkan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) dan Turkish Aerospace Malaysia, serta H2 Energy, bagi menyokong pembinaan industri aeroangkasa tempatan.
“CENTEXS pula berperanan melahirkan tenaga kerja aeroangkasa berkemahiran tinggi melalui program latihan sejajar industri, manakala kerjasama strategik dengan Universiti Tsinghua memperkukuh kepakaran kecerdasan buatan untuk memacu inovasi tempatan,” katanya.
Menurut beliau, industri aeroangkasa global kini berada di titik perubahan susulan kemajuan pesat teknologi seperti pendigitalan, automasi dan kecerdasan buatan, di samping berdepan cabaran kemampanan, rantaian bekalan serta kekurangan bakat mahir.
“Bagi Sarawak, aeroangkasa bukan sekadar pesawat dan infrastruktur, sebaliknya industri berasaskan ilmu yang bergantung kepada modal insan, penyelidikan serta kecemerlangan kejuruteraan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan APACE 2026 menyaksikan pemeteraian beberapa memorandum persefahaman strategik, termasuk kerjasama dengan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) melalui Sarawak Skills serta Perkeso bagi memperkukuh sistem pekerjaan berdaya tahan dan kebolehpasaran graduan.
Sarawak juga menjalinkan kerjasama rapat dengan TalentCorp Malaysia, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) serta Jabatan Pendidikan Malaysia, selain penglibatan aktif dalam Majlis Pembangunan Kemahiran Malaysia (MPK) dan Majlis Pertandingan Kemahiran Malaysia (MPKM).
Menurut Roland, aeroangkasa menawarkan kelebihan strategik kepada Sarawak termasuk penjanaan aktiviti ekonomi bernilai tinggi, limpahan teknologi, peningkatan modal insan serta memperkukuh keterhubungan wilayah.
“Namun, kejayaan industri ini menuntut pelaburan berterusan dalam bakat, institusi dan perkongsian strategik. Bakat adalah enjin sebenar pertumbuhan aeroangkasa,” katanya.
Beliau menegaskan pembangunan bakat perlu bermula seawal peringkat sekolah melalui pengukuhan STEM, pendedahan industri dan program inspirasi seperti APACE bagi memastikan aeroangkasa menjadi laluan kerjaya yang inklusif dan realistik untuk semua lapisan masyarakat.
Mengakhiri ucapannya, beliau menegaskan Sarawak kini menawarkan visi ekonomi yang jelas, tenaga kerja bersedia industri serta kerajaan yang berorientasikan pelabur, sekali gus meletakkan negeri ini sebagai rakan strategik dalam pembangunan industri aeroangkasa serantau dan global.
Oleh Norman B