
KUCHING: Sarawak diyakini berkeupayaan menganjurkan temasya sukan bertaraf serantau seperti Sukan SEA dan berpotensi melaksanakannya dengan lebih baik berbanding penganjuran di Thailand, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau berkata Sarawak bukan asing dalam penganjuran acara sukan antarabangsa, meskipun kebanyakannya berskala satu sukan, termasuk taekwondo, wushu dan tenis di peringkat antarabangsa.
“Sukan SEA adalah sukan regional dan saya percaya ia tidak menjadi masalah kepada kita. Insya-Allah dengan persediaan rapi, kita mampu menganjurkannya setaraf, malah mungkin lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada upacara raptai penuh Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026 di Tebingan Sungai Kuching, malam ini.
Menurut beliau, rombongan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan baru-baru ini telah mengadakan lawatan kerja ke Bangkok bagi meninjau tempat penganjuran Sukan SEA Thailand, selain meneliti kekuatan dan kelemahan penganjuran di sana.
“Kita sendiri mendengar isu pada peringkat awal di sana, termasuk masalah makanan, pengangkutan dan lain-lain. Ini menjadi pengajaran kepada kita untuk memperbaiki penganjuran,” katanya.
Beliau menambah, kerajaan negeri sedang melaksanakan kerja menaik taraf fasiliti sukan melibatkan kos ratusan juta ringgit, selain memperuntukkan RM350 juta khusus bagi kos penganjuran.
“Kalau peruntukan sebanyak itu pun tidak mampu mengangkat sukan di Sarawak, saya pun tak tahulah,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat