KUCHING: Sarawak dijangka menjadi pusat pembangunan tenaga baharu berasaskan hidrogen yang bukan sahaja akan dieksport ke Jepun, malah ke negara lain di masa hadapan.
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, usaha itu adalah hasil lawatan Premier Sarawak ke Jepun baru-baru ini yang berjaya menarik minat dan komitmen pelabur Jepun untuk melabur dalam sektor hidrogen di negeri ini.
“Dalam pertemuan tersebut, Premier Sarawak juga telah dijemput untuk bersama-sama menghadiri lawatan Perdana Menteri Jepun ke Malaysia.
“Perbincangan itu menghasilkan komitmen bahawa Sarawak akan menjadi pusat pembangunan tenaga hidrogen untuk tenaga baharu,” katanya ketika ditemui pada majlis Malam Gemilang Inns of Court Malaysia (ICM) Wilayah Timur di Muzium Budaya Borneo, di sini, malam tadi.
Fadillah berkata, hidrogen sebagai sumber tenaga bersih berpotensi menjadi alternatif kepada tenaga nuklear di masa hadapan.
“Impaknya bukan sahaja kepada ekonomi Sarawak tetapi juga Malaysia secara keseluruhan. Hidrogen merupakan tenaga bersih yang dapat menyumbang kepada kelestarian alam sekitar,” jelasnya.
Beliau turut menekankan bahawa pemilihan Sarawak sebagai hab utama tenaga hidrogen di Asia adalah berdasarkan kelebihan geografi negeri ini dan usaha penyelidikan hidrogen yang lebih awal berbanding negeri lain.
“Selain itu, teknologi Jepun yang lebih maju turut menjadi faktor utama. Jepun dan Korea kini menunjukkan minat yang tinggi untuk melabur dalam pembangunan tenaga hidrogen di Sarawak,” tambahnya.
Fadillah optimis bahawa Sarawak mampu menjadi hab ekonomi hidrogen utama di Asia dengan sokongan teknologi terkini dari negara-negara tersebut.
“Setakat ini, Jepun dan Korea merupakan antara negara yang telah menunjukkan minat serius, dan ada teknologi baharu yang sedang diteroka untuk memperkukuh pembangunan sektor ini,” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT