ABU DHABI: Sarawak akan mewujudkan pelan hala tuju pembangunan gas hidrogen untuk meletakkannya dalam pasaran tenaga bersih itu peringkat global.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, salah satu aspek yang akan diberi tumpuan dalam pelan hala tuju tersebut adalah dari sudut bekalan hidrogen.
Katanya, pengeluaran hidrogen haruslah dalam harga mampu milik, agar pelanggan boleh menggunakan tenaga hijau itu secara meluas.
“Keduanya adalah permintaan. Bermaksud teknologi sel bahan api mesti maju. Dan ini akan mewujudkan permintaan terutama dalam pengangkutan awam, di mana hidrogen menjadi bahan api untuk pengangkutan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam temubual khas bersama UKAS dan TVS selepas menjadi panel jemputan dalam perbincangan tumpuan pada Pameran dan Persidangan Petroleum Antarabangsa Abu Dhabi (ADIPEC) 2024 di Pusat Pameran Nasional Abu Dhabi (ADNEC) di sini pada Rabu.
Abang Johari berkata penglibatan Sarawak dalam industri hidrogen akan membawa kepada aktiviti hiliran lain yang akan menjana ekonomi negeri ini.
Terdahulu, semasa menjadi panel perbincangan mengenai ‘Peranan Asia Dalam Menentukan Pasaran Hidrogen’, Premier Sarawak menegaskan kajian perlu dilakukan menggunakan teknologi terkini agar kos pengeluaran gas hidrogen dapat dikurangkan, sekali gus menjadikannya bahan api alternatif dengan harga mampu milik.
Katanya, tenaga hijau itu telah dijadikan bahan api alternatif untuk menghadapi isu perubahan iklim global yang kian meruncing.
Bagaimanapun, kos pengeluaran yang tinggi selain tenaga yang banyak diperlukan untuk menukar bahan mentah kepada hidrogen menjadi cabaran peralihan kepada tenaga hijau itu.
Dalam hal ini katanya, Sarawak memanfaatkan sepenuhnya kelebihan sumber tenaga diperbaharui yang dimilikinya untuk digunakan bagi menjana pengeluaran hidrogen.
“Kita ada kelebihan terhadap tenaga diperbaharui. Kita telah menjana tenaga diperbaharui sebanyak 5 gigawatt dan berharap pada 2030, kita boleh meningkatkannya kepada 10 gigawatt.
“Maknanya kita perlukan tenaga untuk mengeluarkan hidrogen, dan harga mesti dalam julat pasaran. Ini akan membolehkan hidrogen menjadi bahan api alternatif.”
Dalam konteks Asia, Premier Sarawak berkata China sedang agresif melakukan kajian untuk mengurangkan kos pengeluaran hidrogen.
Malah katanya, Sarawak juga menjalinkan kerjasama strategik dengan Jepun dan Korea Selatan dalam pengeluaran hidrogen dan ia akan dieksport ke kedua negara itu kelak. – Edisi UKAS