KUCHING: Sarawak mahu peruntukan Kerajaan Persekutuan untuk pendidikan diteruskan walaupun setelah autonomi diserahkan nanti, andai desakan itu menjadi kenyataan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata isu autonomi dalam pendidikan adalah antara perkara yang sentiasa diminta Sarawak.
“Ia bukan hanya autonomi, bukan sekadar membuat dasar dan melaksanakannya, kita juga mahu peruntukan kewangan untuk pendidikan kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Kejuruteraan, Sains dan Teknologi Dunia (ESTCON) 2022 di sini hari ini.
Ditanya sama ada beliau mempunyai sebarang keutamaan mengenai calon yang perlu dilantik sebagai Menteri Pendidikan yang baharu dalam Kabinet Persekutuan, Sagah berkata orang itu tidak semestinya mempunyai latar belakang pendidikan.
Bagaimanapun, katanya siapa yang hendak dipilih adalah hak Perdana Menteri.
Pada majlis sama, seramai 800 pakar pelbagai bidang penyelidikan, inovasi dan pengkomersilan dari 17 negara berkumpul untuk ESTCON ke-7 Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) 2022.
Buat pertama kali sejak diadakan pada 2010, edisi terbaru ESTCON2022 bersidang di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) selama dua hari bermula hari ini.
Bertemakan “Tenaga Masa Depan dan Komuniti Pintar”, kongres yang diperbaharui dan dipertingkatkan itu menyelidiki lebih mendalam mengenai peralihan dan transformasi tenaga dalam memupuk masa depan yang mampan, sejajar dengan inisiatif peralihan tenaga PETRONAS untuk menuju ke arah Pelepasan Karbon Sifar Bersih (NZCE).
ESTCON2022 juga hasil kerjasama yang dianjurkan Universiti Malaysia Sawarak (UNIMAS), Universiti Teknologi Brunei (UTB), FPT University Vietnam and Multimedia University (MMU).
Oleh Mohd Neenatul Aizal