BINTULU: Perintah Sekatan Berat (WRO) yang dikenakan kepada kenderaan bagi rangkaian jalan raya di Sarawak, perlu dikaji semula.
Menteri Pengangkutan, Datuk Lee Kim Shin berkata buat masa ini muatan maksimum yang dibenarkan di Jalan Persekutuan di negeri ini adalah 38,000 kilogram (kg) atau 38 tan metrik.
“Peraturan ini memberi cabaran besar kepada pemain industri untuk beroperasi dengan cekap kerana kenderaan berat perkhidmatan jarak jauh biasanya akan melebihi berat yang dibenarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program ‘Makmal mengenai Perintah Sekatan Berat: Penyelesaian untuk harmonikan operasi kenderaan berat di Sarawak’ di sebuah hotel di sini, hari ini.
Program selama dua hari itu dianjurkan Kementerian Pengangkutan dengan kerjasama Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, dihadiri kira-kira 80 peserta daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan.
Lee berharap program itu menghasilkan jalan penyelesaian dan cadangan untuk mengatasi cabaran dihadapi oleh pemain industri logistik berkaitan sekatan berat serta kapasiti jalan dan jambatan di negeri ini.
“Kajian terhadap sekatan berat ini penting untuk memudah dan meningkatkan aktiviti perniagaan logistik di Sarawak selain mengurangkan kos pengangkutan barangan dan kos menjalankan perniagaan di Sarawak,” katanya.
Menurut undang-undang yang berkaitan dengan Perintah Sekatan Berat dibawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333], Seksyen 70(1), peraturan itu diperlukan ke atas Jalan Persekutuan bagi membantu melindungi jalan raya daripada mengalami kerosakan akibat kenderaan yang beroperasi melebihi had muatan yang dibenarkan.
Ia juga bagi membantu mengurangkan kos penyenggaraan yang tinggi selain membantu mengurangkan kos operasi kenderaan.
Lee berkata, objektif program itu adalah untuk mengkaji sekatan berat yang dikenakan sekarang dan peraturan mengenai kenderaan berat, garis panduan keselamatan serta prosedur yang berkaitan dengan keupayaan struktur jalan, jambatan dan pembetung di Sarawak.
Katanya, kajian itu penting untuk mencari langkah atau cara bagi memudahkan keperluan sektor perniagaan apabila melihat perkembangan terkini dan teknologi kenderaan jarak jauh.
“Hasil daripada program itu, kementerian saya akan dapat mengumpul pandangan dan cadangan daripada semua pihak berkepentingan dan seterusnya menyediakan kertas cadangan untuk meminda Perintah Sekatan Berat.
Oleh Carolyne Utih