KUCHING: Sarawak mahu memastikan lebih banyak nilai ekonomi daripada sumber yang dimilikinya kekal di Sarawak menerusi pembangunan industri hiliran, berbanding sekadar mengeksport bahan mentah.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pendekatan itu penting bagi membolehkan sumber Sarawak diterjemahkan kepada aktiviti ekonomi bernilai lebih tinggi.
Beliau berkata, Sarawak perlu bergerak daripada hanya bergantung kepada pengeluaran dan eksport sumber kepada membangunkan rantaian nilai yang merangkumi pemprosesan, industri, pekerjaan berkemahiran dan aktiviti ekonomi berkaitan.

“Jadi kita mesti melihat bagaimana kita boleh pergi lebih jauh ke hiliran supaya lebih banyak nilai daripada sumber kita kekal di Sarawak,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan berkenaan boleh dilaksanakan menerusi pelbagai sektor, termasuk sumber tenaga yang dimiliki Sarawak.
Sebagai contoh, katanya, sumber gas asli bukan sahaja perlu dilihat sebagai komoditi untuk dieksport, sebaliknya boleh dimanfaatkan bagi membangunkan industri hiliran seperti petrokimia, metanol dan industri berasaskan gas.
Pendekatan itu membolehkan Sarawak membina lebih banyak aktiviti ekonomi dalam wilayah ini, selain mewujudkan peluang pekerjaan yang memerlukan kemahiran lebih tinggi.
“Daripada sumber itu kita bina industri, dan daripada industri itu kita bina pekerjaan serta kepakaran. Jadi nilai ekonominya tidak semuanya keluar dari Sarawak,” katanya.
Abang Johari berkata, Sarawak mempunyai pelbagai kekuatan sedia ada yang boleh dikembangkan kepada sektor bernilai tinggi dengan penggunaan teknologi dan inovasi.
Selain gas, beliau turut menyentuh potensi sumber tenaga seperti hidro, air, biojisim dan solar yang boleh menjadi asas kepada pembangunan industri baharu.
Katanya, perkembangan teknologi turut membuka ruang kepada Sarawak untuk mengembangkan sektor baharu berasaskan tenaga, data, kecerdasan buatan dan teknologi maju.
Dalam konteks itu, Sarawak tidak seharusnya melihat sumber yang dimiliki hanya dari sudut pengeluaran, sebaliknya perlu menilai bagaimana sumber berkenaan boleh menghasilkan lebih banyak nilai melalui pemprosesan dan aktiviti hiliran.
Beliau berkata, pendekatan berkenaan juga penting bagi memperkukuh daya tahan ekonomi Sarawak dengan mempelbagaikan sumber pertumbuhan serta mengurangkan kebergantungan kepada eksport bahan mentah.
Abang Johari berkata, transformasi ekonomi Sarawak perlu berasaskan kekuatan yang sudah dimiliki, namun pada masa sama berani meneroka bidang baharu yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi.
Beliau berkata, usaha membangunkan industri hiliran turut memerlukan kerjasama antara kerajaan, sektor swasta, institusi pendidikan dan pemain industri bagi memastikan keperluan tenaga kerja serta kepakaran dapat dipenuhi.
Menurutnya, matlamat akhirnya bukan sekadar meningkatkan jumlah pengeluaran atau eksport, tetapi memastikan lebih banyak rantaian ekonomi, pekerjaan dan kepakaran terbentuk di Sarawak.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Sarawak Corporate Leadership Summit 2026 (SCOPE) di Riverside Majestic Hotel, di sini, hari ini.
Oleh Afiq Sallehi




