TEKNOLOGI… Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg melihat aksi robot semasa melawat ke tapak pameran pada Majlis Penutupan Jerayawara Perkhidmatan Minyak dan Gas serta Peralatan (OGSE) 2022 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di Kuching, semalam. • Foto ANDRE OLIVEIRO
KUCHING: Sarawak komited untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 60 peratus gabungan kapasiti penjanaan kuasa daripada sumber boleh diperbaharui menjelang 2030.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata ia penting bagi merintis pertumbuhan ekonomi dan juga bagi aktiviti menambahkan pendapatan.
Katanya, Sarawak bergerak ke arah masa depan rendah karbon menerusi tenaga hidrogen boleh diperbaharui.
“Ini memainkan peranan penting dalam pembangunan kita. Oleh itu, adalah penting bagi kita untuk memastikan kemampanan jangka panjang sumber tenaga kita.
“Ini juga memberi laluan penting untuk pertumbuhan ekonomi serta aktiviti menjana pendapatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan ‘Jerayawara Perkhidmatan Minyak dan Gas serta Peralatan (OGSE) 2022 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.
Abang Johari berkata, perjalanan ke arah pelepasan karbon bersih-sifar memerlukan Sarawak untuk menumpukan pada penyelesaian tenaga bersih bagi mengambil peluang dalam peralihan tenaga.
“Sarawak berada pada kedudukan yang baik untuk pertumbuhan baharu ini dan mewujudkan peralihan tenaga ke arah yang selamat, bertanggungjawab dan kos efektif dengan pelepasan yang berkurangan,” katanya.
Beliau berkata, dengan kelulusan pindaan Kanun Tanah baru-baru ini, Sarawak kini mempunyai permulaan yang baik untuk mengawal selia aktiviti rantaian ‘perangkap, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).
“Ia (CCUS) memainkan peranan penting dalam ruang peralihan tenaga. Ini penting untuk penyahkarbonan portfolio hidrokarbon dan industri berat.
“Saya percaya (CCUS) ini adalah salah satu bidang yang boleh kita manfaatkan dan terokai lebih jauh dengan kerjasama erat antara kerajaan, industri dan pelabur,” katanya.
Beliau amat percaya bahawa, penyediaan tenaga lestari adalah prasyarat kepada pembangunan ekonomi dan sosial yang mampan.
Abang Johari juga optimis dengan pengecualian Sarawak daripada Akta Pengagihan Gas dan diberi kuasa penuh di bawah Ordinan Pengagihan Gas (OPG), negeri ini.
Katanya, ini akan dapat melakar jalan ke depan dengan yakin di bawah Pelan Tindakan Pengagihan Gas untuk memacu pembangunan dalam industri minyak dan gas (O&G) Sarawak, huluan dan hiliran.
“Industri minyak dan gas akan terus berkembang dengan pembangunan industri baharu yang mengamalkan penggunaan dan pengeluaran yang bertanggungjawab dan mampan, sambil mewujudkan pertumbuhan sosioekonomi yang inklusif.
“Dengan ada bekalan gas, Sarawak akan dapat memacu dan mempelbagaikan pertumbuhan ekonomi ke arah industri hiliran bernilai tinggi selain mewujudkan industri baharu.
“Ini mengesahkan komitmen Sarawak untuk mengekalkan persekitaran perniagaan dan pelaburan yang stabil dan kondusif untuk pertumbuhan mampan industri minyak dan gas, kedua-dua huluan dan hiliran,” katanya.
Beliau berkata, Sarawak meletakkan dirinya sebagai destinasi pelaburan yang menarik didorong oleh sektor swasta.
“Tenaga memainkan peranan penting dalam pembangunan ini. Oleh itu, adalah penting bagi kita untuk memastikan kemampanan jangka panjang sumber tenaga kita,” katanya.
Katanya, dengan keprihatinan dan kesegeraan yang semakin meningkat dalam menangani perubahan iklim, landskap tenaga global menyaksikan transformasi besar ke arah tenaga yang berpatutan, boleh dipercayai dan bersih.
Oleh NUR AIN OTSMAN