SEPANG: Sarawak akan mengekalkan sekurang-kurangnya 60 peratus gabungan kapasiti penjanaan tenaganya daripada sumber boleh diperbaharui menjelang 2030, kata Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata Sarawak mempunyai kaedah termasuk kapasiti untuk menjadi “bateri hijau” ASEAN, meletakkan dirinya sebagai peneraju tenaga Asia Tenggara melalui tenaga yang berpatutan, boleh dipercayai dan boleh diperbaharui.
“Pembangunan tenaga kami akan bergerak ke arah masa depan karbon rendah. Dari 2010 hingga 2020, Sarawak mampu menyahkarbon sistem tenaganya melebihi 70 peratus.
“Sarawak kini berkongsi sumber tenaga boleh diperbaharuinya dengan Kalimantan Barat, Indonesia, melalui kesalinghubungan sejak 2016 serta menjelang akhir 2023, kami akan memulakan eksport tenaga ke Sabah dan negara jiran ASEAN lain yang berpotensi,” katanya dalam ucaptama pada International Business Review (IBR) ASEAN Awards 2022 di sini hari ini.
Abang Johari menjelaskan selain kuasa hidro, Sarawak juga telah memulakan penghasilan hidrogen hijau.
“Memandangkan pasaran hidrogen global semakin rancak, dengan kapasiti pengeluaran hidrogen bersih lebih dua kali ganda sejak Januari 2021, saya yakin Sarawak akan dapat mengambil bahagian selain menyumbang secara aktif kepada pengeluaran tenaga hidrogen hijau dan lebih mampan dalam masa terdekat.
“Malah, menjelang 2027, Sarawak mampu menghasilkan 220,000 tan hidrogen hijau apabila loji hidrogen pertama kami siap,” katanya.
Dengan memanfaatkan potensi tenaga baharu ini, Sarawak sedang membangunkan sistem pengangkutan awamnya yang dikuasakan dengan bahan api hidrogen.
Beliau berkata konsep Transit Aliran Autonomi Pertama di Kuching dijangka bermula pada suku ketiga 2023.
“Walaupun kami mengakui bagaimana industri perkayuan telah menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak pada masa lalu, kami komited dan kini meneruskan hala tuju baharu ke arah pengurusan perhutanan dalam usaha mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.
“Dalam hal ini, kami juga telah membentuk perkongsian penting dengan negara-negara ASEAN lain serta Asia Timur yang merangkumi Korea Selatan dan Jepun, untuk membincangkan inisiatif penangkapan serta penyimpanan karbon,” katanya.
— BERNAMA