Sarawak mahu bina industri kreatif digital bertaraf global

Facebook
WhatsApp
SIMBOLIK… Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyempurnakan simbolik perasmian BAGFEST 2026 di Kuching, hari ini. Foto Norman B

KUCHING: Sarawak bukan sekadar mahu menjadi lokasi penganjuran acara kreatif, sebaliknya berhasrat membina industri animasi, permainan dan kandungan digital yang mampu melahirkan pencipta, studio serta harta intelek (IP) bertaraf antarabangsa.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, aspirasi itu selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) untuk menjadikan Sarawak wilayah maju dan berpendapatan tinggi berteraskan data serta inovasi.

“Kita mahu Sarawak dikenali sebagai tempat pencipta dapat mengembangkan idea, studio dapat bekerjasama, pelabur dapat menemui bakat baharu dan masyarakat dapat mengambil bahagian dalam ekonomi kreatif digital.

AMANAT… Datuk Amar Douglas Uggah Embas ketika berucap pada Majlis Perasmian BAGFEST 2026 di Kuching, hari ini. Foto Norman B

“Untuk mencapainya, kita perlu memperkukuh keseluruhan rantaian nilai industri kreatif daripada pembangunan bakat kepada pengeluaran, pengkomersialan, harta intelek, pemasaran dan pengedaran global,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, ketika merasmikan Festival Animasi dan Permainan Borneo (BAGFEST) 2026 di sini, hari ini.

Menurut Abang Johari, Sarawak mempunyai keunikan menerusi budaya, warisan, biodiversiti, masyarakat dan cara hidup yang boleh diterjemahkan kepada animasi, permainan, filem, pengalaman digital serta IP untuk pasaran global.

Katanya, animasi, permainan, filem dan kandungan digital bukan lagi sekadar hiburan, malah mampu mewujudkan pekerjaan, menarik pelaburan, menghasilkan IP serta membuka peluang kepada golongan muda menyertai ekonomi digital global.

“Inilah sebabnya BAGFEST penting kerana ia menyokong visi Sarawak untuk menjadi hab kreatif digital seterusnya, bukan sahaja untuk Malaysia tetapi juga rantau yang lebih luas,” katanya.

PERKASA DIGITAL…Menteri Digital, Gobind Singh Deo ketika berucap pada majlis perasmian BAGFEST 2026 di Kuching, hari ini. Foto Norman B

Sementara itu, Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, Sarawak mempunyai peranan penting dalam fasa pertumbuhan seterusnya industri kreatif digital Malaysia berikutan kekuatan komuniti kreatif, cerita dan budaya tersendiri serta ekosistem digital yang semakin berkembang.

“Kita mahu melihat lebih banyak idea dibangunkan di sini, lebih banyak IP dicipta dan dimiliki di sini, lebih banyak syarikat berkembang di sini serta lebih banyak pekerjaan bernilai tinggi diwujudkan di sini,” katanya.

Menurut Gobind, kerajaan Persekutuan akan terus bekerjasama dengan kerajaan Sarawak untuk menghubungkan kekuatan negeri itu dengan peluang di Malaysia, Asia Tenggara dan pasaran antarabangsa, sekali gus menyokong aspirasi Sarawak sebagai hab serantau animasi dan permainan.

Industri kreatif digital Malaysia setakat ini telah menjana lebih RM92.5 bilion hasil dan RM12.1 bilion eksport, selain mewujudkan lebih 11,000 pekerjaan bernilai tinggi serta menarik pelaburan sebanyak RM85.7 bilion.

BAGFEST 2026 yang berlangsung dari 19 hingga 23 Ogos menghimpunkan pencipta, studio, penerbit, pelabur, syarikat teknologi serta peneraju industri tempatan dan antarabangsa, selain menyediakan program pembangunan bakat dan padanan perniagaan.

BAGFEST diharap dapat berkembang sebagai platform utama Borneo yang menemukan bakat dengan peluang, masyarakat dengan teknologi serta menjadi medan membentuk masa depan industri kreatif Sarawak.

Oleh Norman B