KUCHING: Sarawak mahu belajar daripada pengeksport makanan kedua terbesar dunia iaitu Belanda mengenai transformasi sektor pertaniannya melalui keselamatan makanan dan pertanian pintar.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, walaupun Belanda mempunyai 17.4 juta penduduk dan saiz tanah kecil, negara itu mampu memajukan sektor pertanian sebagai sumber ekonomi mereka.
“Ini bermakna, Sarawak boleh mengikut bagaimana sektor pertanian telah dibangunkan di Belanda.
“Saya dimaklumkan jika mereka menanam satu tanaman dan kawasan itu tidak dapat mengeluarkan tanaman itu pada tahun berikutnya, mungkin tanah tersebut boleh digunakan untuk tanaman lain.
“Kemudian mereka boleh melatih petani mereka. Ini bermakna tiada pembaziran dalam penggunaan tanah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Bengkel Keselamatan Makanan Sarawak-Belanda yang pertama di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya, Abang Johari menegaskan bahawa salah satu kelemahan Sarawak dalam pertanian ialah penguasaan teknologi di mana masyarakat petani tempatan masih berasaskan cara pengeluaran konvensional dan tradisional.
“Kelemahan lain termasuk kekurangan kepakaran dalam pengurusan tanah dan tumbuhan serta amalan semaian untuk menghasilkan benih.
“Jika kita mampu menampung tiga cabaran yang kita hadapi ini, saya percaya kita boleh mentransformasikan keseluruhan sektor pertanian dan boleh menyumbang kepada keselamatan makanan di rantau ini,” katanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN