
BINTULU: Kerajaan Sarawak akan mengadakan mesyuarat peringkat tinggi bagi membincangkan isu kekurangan lebih 11,000 petugas kesihatan di negeri ini serta keperluan memberikan autonomi kepada Sarawak dalam pengambilan doktor dan jururawat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, mesyuarat itu akan diadakan di bawah Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
“Apabila kita rujuk kepada Kementerian Kesihatan (KKM), mereka kata tunggu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Bila jumpa JPA, mereka kata tunggu Kementerian Kewangan. Jadi kita asyik berlari ke sana-sini.
“Sebab itu kita mahu isu ini dibincangkan bawah MA63 supaya Menteri Kesihatan, Menteri Kewangan, Kementerian Ekonomi Malaysia (EPU) dan Peguam Negara boleh duduk semeja mencari penyelesaian.
“Jika Kerajaan Persekutuan tidak dapat melaksanakannya, beri kuasa kepada Sarawak untuk ambil petugas sendiri,” katanya.
Dr. Sim, yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkata situasi kekurangan tenaga kerja kesihatan di Sarawak kini berada pada tahap amat kritikal.
Beliau mendedahkan terdapat hospital yang memerlukan sekurang-kurangnya 150 pegawai perubatan, namun hanya 80 orang yang bertugas, sekali gus menyebabkan peningkatan beban kerja dalam kalangan doktor dan jururawat.
Katanya, kerajaan Sarawak bersedia menampung kekurangan itu sekiranya kuasa pengambilan diberikan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), bagi memastikan keperluan tenaga kerja kesihatan dapat dipenuhi secara menyeluruh.
“Akhirnya, rakyat Sarawak yang menanggung akibat jika isu ini tidak diselesaikan.
“Sebab itu, autonomi kesihatan bukan soal politik, tetapi keperluan untuk memastikan perkhidmatan kesihatan di Sarawak setara dengan Semenanjung,” tegasnya.
Oleh Carolyne Utih