
SEBUYAU: Sebanyak enam jambatan utama di bawah jajaran Jalan Pesisir Sarawak dijangka siap dan dibuka kepada orang ramai tahun ini, sekali gus memperkukuh jaringan pengangkutan serta merancakkan pembangunan ekonomi di kawasan luar bandar.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembukaan Jambatan Batang Lupar 1 menjadi satu lagi pencapaian penting dalam usaha kerajaan negeri melengkapkan rangkaian jambatan yang menghubungkan kawasan pesisir tanpa lagi bergantung kepada perkhidmatan feri.
Menurut beliau, semua projek berkenaan dibiayai sepenuhnya menggunakan dana kerajaan Sarawak sebagai komitmen negeri dalam menyediakan infrastruktur moden demi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Pada tahun ini sahaja, enam jambatan utama dapat kita siapkan. Ini membuktikan kemampuan Sarawak melaksanakan projek infrastruktur berskala besar dengan kekuatan kewangan sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Jambatan Batang Lupar 1 di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, pembinaan jambatan berkenaan bukan sahaja memendekkan tempoh perjalanan, malah membuka akses lebih luas kepada aktiviti ekonomi, pendidikan, kesihatan dan pelancongan di kawasan luar bandar.
Katanya, jaringan Jalan Pesisir Sarawak akan terus diperkukuh menerusi pelaksanaan projek jambatan yang masih berbaki, termasuk Jambatan Batang Lupar 2, bagi melengkapkan hubungan jalan raya dari selatan hingga ke utara Sarawak.
Beliau menegaskan pembangunan infrastruktur kekal menjadi antara keutamaan kerajaan negeri bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat di seluruh Sarawak.
Oleh Shikin Mahmud