
LAWAS: Dalam usaha memperkukuh bekalan makanan berkualiti tinggi di Sarawak, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD), Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, mengetuai delegasi rasmi ke India.
Lawatan audit dijalankan ke Pusat Pemprosesan Daging Fair Export (India) Pvt Ltd (FEIPL) di Daregaon, Taluka Malegaon.
FEIPL adalah syarikat terkemuka di bawah LULU Group International, sebuah konglomerat terkenal yang berpusat di Emiriah Arab Bersatu dan beroperasi di pelbagai negara.

Perniagaan syarikat ini merangkumi sektor pemprosesan daging, pasar raya besar, pusat beli-belah, pembuatan pakaian, serta aktiviti import dan eksport barangan pengguna.
Dalam lawatan ini, delegasi Sarawak melakukan pemeriksaan menyeluruh ke atas pusat pemprosesan daging FEIPL untuk memastikan semua sumber daging yang bakal diimport memenuhi piawaian keselamatan makanan yang ketat bagi memastikan kualiti dan keselamatan bekalan makanan di Sarawak.
Pihak FEIPL menyatakan hasrat mereka untuk mengeksport daging ke Sarawak, membuka peluang baru bagi pasaran makanan di negeri itu.

Lawatan ini menandakan langkah strategik Sarawak dalam memperkukuh kerjasama antarabangsa serta meningkatkan tahap keselamatan makanan untuk manfaat rakyat negeri ini.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Tetap M-FICORD, Sayed Ismail Nasiruddin Dato’ Sri Wan Hashim, Ketua Penolong Setiausaha Seksyen Perikanan dan Ternakan M-FICORD, Alice Loni, Pegawai Veterinar Kanan Bahagian Kesihatan Haiwan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, Dr Chuo Hock Tieng.
Hadir sama Pengarah Kanan Pembangunan Perniagaan, Shailesh Talwar, Pengurus Besar Pusat Pemprosesan Daging, Fasalu Rahiman dan Ketua Pegawai Kawalan Kualiti, Dr Vikas Sachan.
Oleh Adeng Edrus