
BINTULU: Sarawak terus mengorak langkah dalam mempelbagaikan inovasi hijau berasaskan prinsip ekonomi kitaran bagi memastikan pengurusan sisa dijalankan secara mampan.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, antara usaha utama adalah pelaksanaan projek perintis di Lubok Antu yang menukar sisa isirung kelapa sawit kepada biojisim, makanan haiwan dan biofuel.
Selain itu, katanya kajian turut dijalankan untuk menghasilkan hidrogen daripada sisa ternakan, sekali gus membuka peluang baharu dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.
“Pendekatan ini bukan sahaja memberi nilai tambah kepada sektor perladangan dan penternakan, malah mampu menyumbang kepada sumber tenaga baharu yang lebih bersih,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Anugerah Alam Sekitar Premier Sarawak (PSEA) ke-12 (2025/2026) di hotel di sini, hari ini.

Beliau menambah, inisiatif seumpama itu memperlihatkan komitmen kerajaan Sarawak untuk memanfaatkan teknologi hijau dalam memperkukuh daya tahan ekonomi dan pada masa sama menjaga kelestarian alam sekitar.
Beliau menegaskan, kejayaan semua usaha itu bergantung kepada penyertaan aktif masyarakat serta budaya pengasingan sisa di punca dan amalan kitar semula perlu disemarakkan di setiap peringkat komuniti.
“Usaha ini selari dengan prinsip ekonomi kitaran serta menyokong aspirasi Sarawak di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) untuk menjadi peneraju serantau dalam ekonomi hijau,” tambahnya.
Menurut beliau, penyertaan masyarakat akan memastikan inisiatif yang dirancang kerajaan dapat diterjemahkan kepada kesan nyata yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Jelas beliau, kerjasama erat antara kerajaan, industri dan masyarakat akan menjadikan Sarawak sebagai negeri perintis dalam menggabungkan inovasi teknologi hijau dengan penglibatan rakyat demi masa depan yang lebih lestari.
Oleh Carolyne Utih