
KUCHING: Dasar pemilikan negeri yang baharu merupakan langkah strategik kerajaan untuk menilai, menyatukan serta melindungi aset negeri melalui pengurusan yang berhemah dan berkesan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata dasar tersebut memberi penekanan terhadap pemantapan tadbir urus korporat dan kebertanggungjawaban, memandangkan syarikat milik kerajaan negeri (SOE) memainkan peranan besar dalam agenda pembangunan Sarawak.
“Sebahagian aset negeri diuruskan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) manakala sebahagian lagi di bawah badan pusat.
“Semua aset ini perlu dipelihara kerana ada antara SOE menjalankan fungsi seumpama sektor swasta. Justeru, tadbir urus yang kukuh amat penting supaya aset ini terus memberi nilai tambah kepada pembangunan negeri.
“Ini adalah soal akauntabiliti. Jika ada kelemahan yang dibangkitkan oleh Jabatan Audit Negara, ia perlu diperbetulkan segera dengan langkah penyelesaian,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Reimbursable Advisory Services (RAS) antara Kementerian Kewangan, kerajaan Sarawak dan Bank Dunia di Hotel Riverside Majestic, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata huraian lanjut mengenai pelaksanaan dasar berkenaan akan diperincikan dalam ucapan dasar beliau ketika pembentangan Belanjawan 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) November ini.
Premier Sarawak menegaskan kerjasama dengan Bank Dunia akan menumpukan kepada tiga perkara iaitu pengenalan Dasar Pemilikan Negeri, piawaian baharu tadbir urus SOE, serta sistem digital berpusat bagi menilai prestasi strategik, kewangan dan sosioekonomi SOE.
Menurutnya, langkah reformasi ini penting bagi melahirkan SOE yang berdaya saing di peringkat global, mampu menambah nilai dan membina keyakinan serta menjamin masa depan Sarawak.
“Kerjasama bersama Bank Dunia bukan sekadar sokongan teknikal tetapi satu perkongsian strategik untuk membawa kemajuan kepada negeri,” tambahnya.
Oleh Amanda L