Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Sarawak laksana operasi pembenihan awan, stabilkan paras air empangan
  • TEMPATAN

Sarawak laksana operasi pembenihan awan, stabilkan paras air empangan

Utusan Sarawak 2 hours ago
PERSIAPAN Operasi Pembenihan Awan dilakukan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk TUDM, NADMA dan MET bagi memastikan misi meningkatkan taburan hujan di kawasan tadahan empangan utama Sarawak berjalan lancar. Foto UKAS

KUCHING: Kerajaan Sarawak melaksanakan Operasi Pembenihan Awan di kawasan tadahan empangan utama negeri ini sebagai langkah proaktif memastikan paras air kekal stabil demi menjamin penjanaan tenaga hidroelektrik serta bekalan air mentah berterusan.

Operasi yang berlangsung pada 11 hingga 12 Mei itu dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Meteorologi Malaysia (MET), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta beberapa agensi berkaitan.

Timbalan Premier Sarawak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, operasi tersebut merupakan langkah penting kerajaan negeri dalam memastikan kelangsungan sumber air bagi memenuhi keperluan tenaga, bekalan air dan kesejahteraan rakyat.

Menurut beliau, kerajaan negeri akan terus memperkukuh kesiapsiagaan serta langkah mitigasi dalam menghadapi perubahan cuaca yang semakin tidak menentu melalui penggunaan teknologi dan kerjasama pelbagai agensi.

“Operasi pembenihan awan hanya dilaksanakan berdasarkan keperluan serta penilaian teknikal tertentu seperti ketika berlakunya jerebu atau apabila paras air empangan berada pada tahap rendah yang boleh menjejaskan bekalan air dan penjanaan tenaga,” katanya dalam kenyataan media JPBNS, hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan operasi tersebut tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya kerana ia bergantung kepada kajian meteorologi, keadaan atmosfera serta kewujudan sistem awan yang sesuai bagi memastikan keberkesanan operasi.

Antara kawasan sasaran operasi ialah kawasan tadahan Empangan Batang Ai, Empangan Bakun dan Empangan Murum, manakala Pangkalan Udara Kuching TUDM dijadikan pusat operasi serta koordinasi penerbangan.

Katanya, operasi itu bertujuan meningkatkan potensi pembentukan hujan di kawasan tadahan empangan strategik bagi menyokong kestabilan paras air yang kritikal kepada penjanaan tenaga hidroelektrik, bekalan air mentah serta kelestarian sumber air negeri.

Selain meningkatkan taburan hujan di kawasan sasaran, operasi tersebut turut bertujuan mengurangkan risiko kekurangan bekalan air serta memperkukuh langkah mitigasi terhadap kesan cuaca kering dan fenomena El Niño serta La Niña.

Pelaksanaan operasi dilakukan menerusi penerbangan pesawat pada altitud sekitar 5,000 hingga 9,000 kaki dengan penyebaran bahan higroskopik seperti garam gred industri ke dalam sistem awan yang berpotensi menghasilkan hujan.

Pada masa sama, pemantauan radar cuaca serta analisis atmosfera dilaksanakan secara berterusan sebelum, semasa dan selepas operasi bagi memastikan tahap keberkesanan serta keselamatan operasi sentiasa terkawal.

Antara agensi lain yang turut terlibat ialah Pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia (CAAM), Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Sarawak Energy Berhad dan Sarawak Water Sdn Bhd.

Continue Reading

Previous: Teknologi AI bantu mudahkan tugasan harian

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.