KUCHING: Sarawak akan melaksanakan perdagangan Pemerapan, Penggunaan, dan Penyimpanan Karbon (CCUS) pada tahun depan, selepas rang undang-undang baharu yang diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan pada sidang Parlimen Disember ini, diluluskan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak yang sudah memiliki perundangan CCUS sendiri akan bekerjasama dengan Kerajaan Pusat untuk mengharmonikan undang-undang tersebut.
“Oleh itu, undang-undang baharu ini perlu diharmonikan dengan undang-undang Persekutuan yang akan menjaga kepentingan Kerajaan Pusat.
“Kepentingan Persekutuan di sini bermaksud, jika karbon diangkut ke Sarawak, ia memerlukan pengangkutan rentas sempadan yang dikendalikan oleh Kerajaan Persekutuan.
“Hal ini berlaku kerana Malaysia sebagai negara penandatangan konvensyen antarabangsa bertanggungjawab ke atas urusan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan rumah terbuka Deepavali kediaman Dato Dr Kalwinder Singh Khaira di sini, hari ini.
Abang Johari turut menjelaskan bahawa sumber karbon tersebut menjadi hak milik negeri sebaik sahaja ia tiba di Sarawak.
“Apabila karbon disimpan di dalam tanah Sarawak, ia perlu mematuhi undang-undang negeri.
“Jadi, pengangkutan antarabangsa adalah di bawah bidang kuasa Persekutuan, di mana Kerajaan Persekutuan adalah penandatangan ‘Protokol London’, manakala penyimpanan karbon dalam negeri adalah di bawah kuasa undang-undang negeri,” katanya.
Terdahulu, Rafizi, selepas pertemuannya dengan Abang Johari memberitahu pemberita bahawa perbincangan tertumpu kepada cara untuk mengharmonikan undang-undang negeri dan Persekutuan sebelum RUU Persekutuan itu dibentangkan akhir tahun ini.
“Matlamatnya adalah untuk memastikan kedua-dua Sarawak dan Malaysia (kerajaan Persekutuan) dapat melaksanakan CCUS secepat mungkin mengikut pelan yang ditetapkan dan proses itu dapat diteruskan dengan lancar,” katanya.
Oleh Mohd Neenatul Aizal