BINTULU: Sarawak melakar sejarah dengan penghantaran pertama kargo metanol seberat 20,000 metrik tan ke China.
Ia hasil pengeluaran Sarawak Petchem Sdn Bhd di Kompleks Metanol Sarawak, Tanjung Kidurong di sini hari ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyifatkan pencapaian itu sebagai simbol kejayaan keberanian negeri mengambil risiko besar dalam membangunkan industri petrokimia walaupun tanpa rekod pencapaian terdahulu.
“Saya masih ingat, empat tahun lalu, terdapat persoalan sama ada projek ini mahu dilaksanakan atau tidak kerana ketidaktentuan yang ada.
“Namun, saya berkata, kita ambil risiko, dan kita juga mempunyai anak Sarawak yang memiliki teknologi dan kepakaran.
“Jadi, mari kita uji anak Sarawak sama ada mereka boleh menghasilkan metanol atau tidak.
“Risikonya memang tinggi, tambahan pula untuk mendapatkan dana, kita tidak mempunyai rekod pencapaian terdahulu.
“Namun, dengan ketabahan dan semangat kerjasama iaitu ‘one goal, one team’ (satu matlamat, satu pasukan), Alhamdulillah, kita berjaya mendapatkan dana,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian pelepasan kargo eksport metanol Sarawak Petchem dan projek metanol hijau di sini hari ini.
Projek tersebut turut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk vendor antarabangsa seperti Samsung, yang membangunkan kilang metanol dengan teknologi canggih dan kos lebih rendah.
Sementara itu, Pengerusi Sarawak Petchem, Tan Sri Abdul Aziz Husain dalam ucapannya turut menzahirkan keyakinannya terhadap Projek Metanol Hijau.
“Projek ini bukan sahaja akan menarik lebih banyak minat pelabur tetapi juga mempercepatkan agenda ekonomi hijau Sarawak, sekali gus membantu kita memposisikan Sarawak di barisan hadapan penyelesaian tenaga mampan,” katanya.
Projek Metanol Hijau bakal menjadi pemangkin dalam mewujudkan ekosistem bahan api hijau untuk sektor perkapalan.
Ia mengguna pakai hidrogen hijau dan karbon dioksida terperangkap sebagai bahan mentah untuk menghasilkan bahan api mesra alam.
Perasmian projek tersebut menandakan satu lagi pencapaian penting Sarawak dalam usaha memacu pertumbuhan ekonomi mampan sejajar dengan matlamat Rangka Tindakan Peralihan Tenaga Nasional (NETR).
Oleh Carolyne Utih