Sarawak mengutip Cukai Jualan Negeri (SST) berjumlah RM8 bilion hasil jualan produk petroleum sejak cukai berkenaan diperkenalkan pada 2019 hingga kini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, hasil SST itu dijangka meningkat hujung tahun ini susulan peningkatan harga minyak mentah global.
Menurutnya, beberapa tahun lalu Sarawak berjuang untuk menuntut cukai produk petroleum itu daripada Petroliam Nasional Berhad (Petronas) sehingga membawanya ke mahkamah.
“Penyelesaiannya ditentukan oleh mahkamah yang memutuskan Sarawak ada hak mengenakan SST terhadap produk petroleum.
“Hingga kini kita sudah berjaya mengutip sebanyak RM8 bilion hasil SST itu dan pendapatan tambahan itu akan dikembalikan kepada rakyat melalui pelaksanaan pelbagai program pembangunan dan bantuan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri yang diadakan di Betong.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, walaupun Sarawak dan Petronas pernah berhadapan dengan mahkamah berhubung isu SST itu, kini hubungan kedua-dua pihak terjalin dengan cukup baik khususnya untuk memajukan industri minyak dan gas di Sarawak pada peringkat hiliran dan juga huluan kerana itulah aspirasi rakyat Sarawak.
“Kerjasama ini dimeterai di bawah Perjanjian Penyelesaian Secara Komersil atau Commercial Settlement Agreement yang ditandatangani kedua-dua belah pihak pada Disember 2020.
“Antara lain, Petronas memberi komitmen untuk menyalurkan lebih banyak gas bagi tujuan membangunkan hub petrokimia di Tanjung Kidurong, Bintulu dengan pembinaan loji penyaluran gas kedua di Tanjung Kidurong.
“Saya yakin melalui kerjasama ini dengan pihak-pihak lain, Sarawak akan mempunyai hub petrokimianya sendiri yang akan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sarawak, khususnya kalangan belia,” katanya.