
BINTULU: Sarawak berdepan krisis kekurangan lebih 11,000 petugas kesihatan, sekali gus mencetuskan desakan kerajaan negeri agar diberi autonomi melantik sendiri doktor dan jururawat tanpa bergantung kepada Kerajaan Persekutuan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, masalah kekurangan tenaga kerja perubatan itu bukan sahaja menjejaskan mutu rawatan di hospital negeri, malah membebankan petugas sedia ada yang terpaksa menampung beban kerja berlebihan.
Menurut beliau, keadaan bertambah kritikal apabila ramai doktor enggan berkhidmat di Sarawak kerana kos perpindahan tidak ditanggung dan jawatan yang ditawarkan hanya bersifat kontrak.
“Apabila pengambilan dibuat di Kuala Lumpur, ramai memilih untuk kekal di sana sehingga Sarawak kekurangan tenaga kerja.
“Akibatnya, hospital di Semenanjung berlebihan doktor manakala Sarawak terus berdepan kekurangan,” katanya selepas menyaksikan penyerahan sumbangan makanan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming kepada warga Hospital Bintulu semalam.

Dr Sim menegaskan, kuasa autonomi penting supaya Sarawak dapat mengurus sendiri pengambilan kakitangan, sebagaimana dilakukan dalam sektor pendidikan untuk guru.
Katanya, lawatan Bahagian Sumber Manusia Kementerian Kesihatan (KKM) pada Julai lalu mengesahkan Sarawak memerlukan lebih 11,000 jawatan baharu, melibatkan pakar perubatan, jururawat pakar, ahli fisioterapi, ahli farmasi serta pelbagai kakitangan sokongan di tujuh hospital seluruh negeri.
Oleh itu, beliau menggesa KKM, Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi segera menggubal pelan pembiayaan dan mekanisme pengambilan tenaga kerja bagi memastikan kebajikan pesakit serta petugas tidak terus terjejas.
Oleh Carolyne Utih