KUCHING: Sarawak terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam industri perikanan negara menerusi kelebihan kemudahan pelabuhan yang maju dan mewah, kata Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil.
Beliau berkata, kelebihan Sarawak terletak pada keluasan negeri dan laut yang luas, serta sumber ikan melimpah.
“Prasarana pelabuhan di Tanjung Bako dan Tanjung Manis turut menjadi faktor utama dalam meningkatkan pendaratan ikan, sekali gus merangsang aktiviti perikanan di negeri ini.
“Kita sasarkan untuk meningkatkan jumlah pendaratan ikan di Sarawak yang akan merangsang industri perikanan.
“Walaupun Sarawak kini berada di tangga keenam dari segi pendaratan ikan, berbanding Semenanjung Malaysia, kita yakin dengan potensi besar yang dimiliki oleh negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Kolam Pancing Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Satang Biru di Kampung Telaga Air, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan penglibatan lebih ramai nelayan di Sarawak bagi mengaktifkan ekosistem perikanan yang melibatkan sektor huluan dan hiliran.
“Selain prasarana, Sarawak juga memiliki kekuatan sumber manusia dengan 19 PNK, iaitu jumlah tertinggi di negara ini. Setiap PNK perlu memainkan peranan masing-masing dalam menjayakan projek ekonomi di bawah agenda 1 Produk 1 PNK (1P1P),” katanya.
Pada majlis sama, beliau merasmikan projek ekonomi PNK Satang Biru iaitu sebuah kolam pancing yang terletak di Kampung Telaga Air.
Projek tersebut merupakan inisiatif agropelancongan yang diharapkan dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi persatuan.
Menurut kenyataan media LKIM, kolam pancing yang dibangunkan atas tanah seluas satu hektar itu dibiayai melalui Skim Pinjaman Institusi Nelayan (SPIN) LKIM, dengan kos dianggarkan berjumlah RM400,000.
Kolam ini bakal menempatkan spesies ikan popular seperti GT (Belokok), Siakap (Selunsung), dan Ikan Merah Tanda, yang sesuai untuk penggemar aktiviti memancing.
Usaha ini dijangka menarik lebih ramai pelancong, terutamanya dalam kalangan pemancing, sekali gus meningkatkan ekonomi komuniti nelayan di kawasan berkenaan.
Oleh SHAHRUL QAIZAT