
LONDON (United Kingdom): Misi pelaburan Sarawak ke United Kingdom (UK) dari 23 hingga 28 September, hari ini berjaya membina momentum baharu dalam usaha menarik pelaburan asing, sekali gus mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai hab pelaburan berdaya saing di rantau Asia Tenggara.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, misi tersebut adalah kesinambungan daripada Sarawak Connects yang dianjurkan pada Mei lalu.
“Ia terus membuktikan bahawa Sarawak bukan sahaja menarik pelaburan tetapi turut memupuk kerjasama strategik yang menjana pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat Sarawak serta mengukuhkan kedudukan kita di peringkat serantau sebagai hab yang neutral, inovatif dan berdaya saing di Asia Tenggara,” katanya dalam kenyataan.

Delegasi Sarawak yang diketuai beliau telah berinteraksi dengan pelabur kewangan global dan syarikat-syarikat utama bagi memposisikan Sarawak sebagai hab utama untuk inovasi dalam tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, aeroangkasa dan pembuatan termaju, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) Sarawak.
Cadangan-cadangan ini bersandarkan kepada kestabilan politik kerajaan dan dasar yang kukuh.
Delegasi mengadakan siri mesyuarat strategik bersama eksekutif C-suite daripada syarikat multinasional (MNC) dan pelabur kewangan global termasuk Technip Energies, Standard Chartered UK, Vemi Capital, Global Interconnection Group dan Aurrigo.

Perbincangan memberi tumpuan kepada peluang pelaburan dalam pembuatan kabel dasar laut voltan tinggi bagi menyokong Inisiatif Grid Tenaga ASEAN, penubuhan industri pembuatan kenderaan autonomi di Sarawak serta penerokaan pelaburan berpotensi dalam sektor minyak dan gas mampan, teknologi tenaga baharu dan bahan api rendah karbon.
Respons daripada industri di UK juga sangat memberangsangkan dengan keyakinan tinggi bahawa dialog tersebut akan menghasilkan projek-projek berimpak tinggi yang saling menguntungkan serta memajukan matlamat pembangunan Sarawak dan aspirasi pelaburan global UK.
Sarawak turut mempamerkan keupayaan dalam tenaga boleh diperbaharui, ekosistem industri yang kukuh serta komitmen teguh terhadap kelestarian, yang disokong oleh dasar yang jelas dan progresif.
Tarikan negeri ini turut diperkukuh melalui dasar pendidikan yang progresif dengan akses percuma kepada semua rakyat Sarawak, serta penekanan terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi memastikan bakat masa depan yang bersedia memenuhi permintaan industri.
-UKAS