
PETRA JAYA: Sarawak kini berada di landasan kukuh untuk membangunkan ekosistem semikonduktor yang lengkap menjelang 2030 melalui pelaksanaan Pelan Hala Tuju Semikonduktor Sarawak 2030.
Pengerusi SMD Semiconductor Sdn Bhd, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, berkata pelan itu berteraskan tiga prinsip utama iaitu memanfaatkan kekuatan sedia ada Sarawak, memperkukuh kolaborasi industri–akademia, serta dipacu oleh permintaan pasaran global.
“Pelan Hala Tuju ini dibina berasaskan ‘Beyond Moore’s Law Roadmap’ oleh SMD yang menjadi asas kepada Pelan Hala Tuju Semikonduktor Sarawak 2030.
“Ia sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dan pelan negeri yang lain seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga, Pelan Hala Tuju Gas dan Pelan Tindakan Ekonomi Digital.
“Wujudnya sokongan pelan hala tuju ini, kita bergerak ke arah ekosistem semikonduktor lengkap menjelang 2030, diperkukuh dengan pembangunan bakat melalui 10 langkah strategik.
“Selain itu, pelan hala tuju ini membolehkan Sarawak meletakkan dirinya sebagai pintu masuk serantau untuk semikonduktor, memanfaatkan permintaan Asia yang berkembang pesat dalam kenderaan elektrik (EV), kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan, tenaga boleh diperbaharui, aeroangkasa dan elektronik pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas taklimat mengenai hasil makmal Semikonduktor SMD kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Satria Pertiwi hari ini.

Menurut Setiausaha Kewangan Sarawak itu, pelan hala tuju tersebut menyasarkan sumbangan sebanyak RM30 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak menjelang 2030, selari dengan sasaran negeri iaitu RM282 bilion, pertumbuhan sektor pembuatan daripada RM35 bilion kepada RM82 bilion, penciptaan 3,000 pekerjaan berkemahiran tinggi dalam sektor semikonduktor, serta menarik RM2 bilion pelaburan baharu berkaitan semikonduktor.
Tambah beliau, pelaksanaan pelan hala tuju berkenaan akan berteraskan 14 teras strategik dan kira-kira 34 projek serta inisiatif di bawah empat bidang tumpuan iaitu rantaian nilai industri, ekosistem bakat, inovasi, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan kepimpinan teknologi serta kelestarian.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor, Shariman Jamil menegaskan bahawa pelan hala tuju tersebut kini sudah berada pada fasa kedua selepas fasa pertama yang memberi tumpuan kepada asas dan pembangunan bakat berjaya dilaksanakan sejak dua tahun lalu.
“Kami bukan lagi di peringkat kajian apabila SMD ditubuhkan dua tahun lepas. Ketika itu, kami telah memulakan asas serta saluran bakat.
“Sekarang, pelan hala tuju ini sudah memasuki fasa kedua dan seterusnya akan ke fasa ketiga.
“Jadi, kita sebenarnya maju secara aktif dalam perjalanan ini dalam tempoh lima hingga enam tahun akan datang,” ujarnya.
-UKAS