Sarawak konsisten di kelompok teratas, hasil kerja bertahun-tahun – Dr Sim

Facebook
WhatsApp
RAKAM KENANGAN…Datuk Amar Dr Sim Kui Hian bergambar bersama atlet terjun dan kontinjen terjun Sarawak selepas menyaksikan acara 3 meter platform lelaki berirama di Pusat Akuatik Darul Ehsan, hari ini.

SELANGOR: Kejayaan atlet Sarawak kekal berada dalam kelompok terbaik pada Sukan Malaysia (Sukma) XXII Selangor 2026 bukan hasil usaha semusim, sebaliknya lahir daripada pembangunan sukan yang dilakukan secara konsisten sejak bertahun-tahun lalu, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

Beliau berkata, pencapaian kontinjen Sarawak pada temasya kali ini membuktikan negeri itu mampu terus bersaing di peringkat tertinggi meskipun mempunyai jumlah penduduk yang lebih kecil berbanding beberapa negeri lain.

Menurutnya, perkara paling membanggakan adalah keberanian atlet muda Sarawak untuk tampil melepasi tekanan dan menewaskan atlet pilihan kebangsaan dalam beberapa acara.

“Dalam acara terjun yang baru sahaja kita saksikan, khususnya 3 meter, kita tidak menjangka akan memenangi pingat.

“Tetapi apa yang paling mengagumkan ialah atlet muda kita mempunyai keyakinan dan walaupun berdepan tekanan, mereka tetap mampu mengatasi atlet pilihan kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan acara 3 meter platform lekaki berirama di Pusat Akuatik Darul Ehsan, di sini, hari ini.

Dr Sim berkata, pencapaian atlet Sarawak itu turut mencerminkan usaha pembinaan negara yang tidak hanya tertumpu kepada aspek ekonomi, sebaliknya merangkumi pelbagai bidang termasuk sukan dan kesihatan.

“Kita tidak mahu orang melihat Sarawak hanya kerana kita makmur. Kita mahu atlet kita berada di peringkat teratas dan kita mahu doktor perubatan kita juga berada di peringkat teratas.

“Ia sedang berlaku dalam pelbagai segmen,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Sim turut memberikan penghargaan kepada Ketua Kontinjen Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu, serta barisan pegawai, jurulatih dan atlet yang bekerja keras memastikan prestasi Sarawak kekal kompetitif.

Beliau berkata, cabaran untuk mengekalkan prestasi di SUKMA amat besar kerana setiap edisi menyaksikan kemunculan kelompok atlet baharu apabila atlet terdahulu melepasi had umur pertandingan.

“SUKMA sentiasa mencabar kerana apabila kita melatih antara yang terbaik dan mereka melepasi umur 21 tahun, akan datang pula kumpulan yang baharu.

“Tetapi walaupun Sarawak mempunyai populasi yang kecil, kita konsisten berada di kelompok teratas. Bukan konsisten di kelompok terbawah,” katanya.

Menurutnya, pencapaian berkenaan tidak seharusnya dilihat hanya berdasarkan jumlah pingat yang diraih dalam satu-satu edisi Sukma kerana ia merupakan hasil pembangunan jangka panjang.

“Apabila menjadi juara, semua orang akan berkata ‘wah, kamu juara’. Tetapi terdapat banyak kerja yang perlu dilakukan sebelum kita sampai ke tahap itu.

“Ia bukan usaha satu atau dua tahun, tetapi konsisten selama bertahun-tahun,” katanya.

Dr Sim turut mengimbas kenangannya ketika Sarawak beraksi pada Sukma terdahulu yang turut berlangsung di Selangor, termasuk menyaksikan skuad renang Sarawak meraih pingat emas di venue sama.

Katanya, pembangunan sukan perlu dilihat sebagai proses berterusan dan tidak terhenti selepas sesuatu temasya berakhir.

“Sukan bukan hanya untuk satu Sukma. Ia lebih daripada itu,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pegawai, jurulatih dan atlet, termasuk atlet muda Sarawak, atas usaha mengharumkan nama negeri di pentas Sukma.

Oleh Shahrul Qaizat

Ronaldinho kembali buru gol ke-300

RAVENNA, Itali: Bekas bintang bola sepak Brazil, Ronaldinho, yang bersara daripada arena bola sepak pada 2015, mengumumkan kemunculan semula selepas