
KUCHING: Kerajaan Sarawak memberi jaminan untuk menambah baik Kompleks Perumahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Tabuan Jaya memandangkan lokasinya yang terletak di kawasan pembangunan pesat Kota Samarahan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kompleks tersebut berada dalam laluan utama projek negeri termasuk pembesaran jalan raya, pemasangan lampu isyarat pintar dan pembinaan Sistem Aliran Transit Automasi (ART).
“Kompleks Polis Tabuan berada di kawasan strategik dan wajar dipertingkatkan.
“Walaupun PDRM berdepan kekangan peruntukan, kerajaan negeri sedia menyalurkan bantuan jika ada hasrat menaik taraf,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan kerja mengecat Kompleks Perumahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Tabuan Jaya dan menyerahkan kenderaan pacuan empat roda kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Sarawak di Kompleks Perumahan PDRM Tabuan Jaya, hari ini.
Tambahnya, kerajaan negeri telah menyalurkan RM5 juta bagi kerja mengecat bangunan perumahan tersebut, selain meluluskan peruntukan tambahan untuk mencantikkan banglo pegawai polis sebagai usaha memperkukuh imej kompleks itu.
Abang Johari turut berkata, beliau telah mengemukakan cadangan kepada Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata, barisan kepimpinan PDRM serta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail agar kemudahan dan infrastruktur balai polis di Sarawak dipertingkatkan.
Oleh Amanda L.