Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Sarawak ketengahkan agenda tenaga mampan di Pameran Shanghai
  • SEMASA

Sarawak ketengahkan agenda tenaga mampan di Pameran Shanghai

Utusan Sarawak 2 days ago
Foto UKAS

KUCHING:  Sarawak dijangka mengetengahkan agenda tenaga mampannya di pentas dunia pada Pameran dan Persidangan Penjanaan Kuasa dan Tenaga Pintar Fotovolta (PV) Antarabangsa 2025 yang berlangsung di Shanghai, China.

Persidangan diadakan dari 10 hingga 13 Jun di Pusat Pameran dan Konvensyen Nasional (NECC) Shanghai itu merupakan acara yang diiktiraf sebagai pameran dan persidangan perdagangan terbesar dan paling berpengaruh bagi solar PV dan tenaga pintar.

“Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Bhd dan Petroleum Sarawak Bhd), Datuk Ibrahim Baki, yang mengetuai delegasi kerajaan Sarawak dalam lawatan kerja rasmi tiga hari ke China, dijadualkan berucap pada persidangan tersebut hari ini,” menurut kenyataan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) hari ini.

Beliau akan mewakili Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dalam acara itu yang menampilkan lebih 3,000 pempamer dari 95 negara.

Persidangan itu menawarkan platform untuk membentangkan dan membincangkan perkembangan terkini mengenai dasar, trend pasaran serta memperkukuh rangkaian antara peserta industri dan pihak berkepentingan dasar.

“Acara itu juga mengumpulkan pakar terkemuka, ahli akademik, penyelidik, usahawan dan wakil daripada institusi kebangsaan China yang terlibat dalam PV solar dan tenaga boleh baharu, bersama eksekutif kanan daripada persatuan industri solar di Eropah, Asia dan Amerika,” jelasnya.

Dalam majlis itu, kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT), akan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan China Three Gorges International Ltd (CGTI) dan Shanghai Electric Power T&D Group Co. Ltd.

MOU itu bertujuan memudah cara pelbagai kajian dan kerjasama untuk meneroka potensi pembangunan ladang solar terapung dengan kapasiti sehingga 1,000 megawatt (MW) di kawasan tadahan Loji Hidroelektrik Bakun (HEP).

Selepas persidangan itu, delegasi Sarawak akan melawat ibu pejabat Shanghai Electric yang terletak di daerah Minhang, manakala pada sebelah petang, mereka akan disertai oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, untuk kunjungan hormat kepada Datuk Bandar Shanghai, Gong Zheng.

Pada Rabu, mereka dijadualkan melawat kampus Fudan University, satu daripada institusi penyelidikan terkemuka di China, untuk meneroka teknologi termaju khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI), dan untuk mengenal pasti peluang kerjasama strategik yang berpotensi.– Bernama

Continue Reading

Previous: Kemalangan Bas: KPWKM salur bantuan segera kepada 10 pelajar UPSI di ICU – Nancy Shukri
Next: Malaysia tuan rumah Forum Kemahiran Global 2025, kali pertama di luar Geneva

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.