
KUCHING: Negara Kemboja ingin memohon kerjasama bersama Sarawak untuk membangunkan sektor agrikultur yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Menteri Kanan Misi Khas (Hal Ehwal Islam) Kemboja diketuai oleh Neak Oknha Datuk Dr Othsman Hassan berkata, Kemboja kini mempunyai hasil pertanian yang banyak khususnya padi dan kacang gajus, namun menghadapi kesukaran terutamanya di peringkat pemprosesannya.
“Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan menghantar satu pasukan ke Kemboja bagi mengkaji pembinaan pusat pemprosesan padi kerana Kemboja mempunyai banyak hasil padi yang mana dahulunya dieksport ke Thailand dan Vietnam.
“Sekiranya pusat pemprosesan ini dapat direalisasikan, maka kami boleh meluaskan eksport kami ke negara-negara lain,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak di Kompleks Satria Pertiwi, hari ini.

Bagi tanaman kacang gajus, Othsman berkata negara mereka mengeluarkan lebih sejuta tan tanaman berkenaan namun menghadapi kesukaran untuk proses pembungkusan.
“Jadi kami meminta pelabur dari Sarawak untuk kita bersama-sama meneroka peluang pelaburan yang ada di Kemboja.
“Memandang kami juga mempunyai pelabuhan di Kemboja, maka kami ingin memohon Sarawak membekalkan minyak dan gas petroleum cecair (LPG),” ujar beliau lagi.
Menurutnya, Premier Sarawak akan menghantar rombongan ke Kemboja bagi tujuan ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
-UKAS