
SERIAN: Sarawak telah mengeluarkan dua lesen kategori C2 bagi aktiviti perikanan laut dalam selepas negeri ini diberikan kuasa berbuat demikian di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, walaupun lesen telah dikeluarkan, operasi setakat ini masih belum dapat dilaksanakan sepenuhnya kerana beberapa kekangan dihadapi pemain industri.
Menurut beliau, antara cabaran utama ialah kesukaran mendapatkan kapal perikanan yang sesuai kerana syarikat tempatan tidak dibenarkan membeli kapal dari negara seperti Vietnam, Thailand dan China atas faktor keselamatan.
“Keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa sama ada membina kapal sendiri atau mendapatkan kapal dari negara lain, yang memerlukan kos yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan ke fasiliti pemprosesan susu segar A2 milik Ecofarm Solution Sdn Bhd di Kampung Panchor di sini, hari ini.
Rundi berkata kerajaan negeri juga merancang menubuhkan Jabatan Perikanan Sarawak bagi memperkukuh kawal selia industri tersebut serta menyediakan sokongan lebih menyeluruh kepada pemain sektor perikanan.
Menurutnya, komuniti nelayan di negeri ini ketika ini masih banyak bergantung kepada kaedah penangkapan tradisional dan belum memanfaatkan sepenuhnya potensi perikanan laut dalam.
Tambah beliau, Sarawak memiliki hampir 1,000 kilometer garis pantai yang membuka peluang besar untuk pembangunan sektor perikanan marin.
“Kita mempunyai potensi yang besar untuk diterokai dalam sektor ini dan usaha sedang dilakukan bagi memperkasa industri tersebut secara berperingkat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pembangunan sektor perikanan laut dalam perlu dilaksanakan dengan kawal selia yang rapi supaya sumber perikanan negeri terus dimanfaatkan oleh pemain tempatan.
Oleh Adele Rissa