
UNTUK KENANGAN... Tun Wan Junaidi serta isteri dan Abang Johari bergambar kenangan sempena sambutan Hari Kebangsaan di Sarikei. Foto UKAS
SARIKEI: Sarawak terus kekal sebagai pengeluar gas terbesar di Malaysia dan merupakan pengeksport gas asli cecair (LNG) utama negara dengan nilai sebanyak RM56.4 bilion pada 2024.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata bagi menambah nilai sumber gas asli, Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR) juga telah dilancarkan.
“Melalui SGR, kita akan memacu pembangunan gas asli untuk memangkin pertumbuhan ekonomi wilayah ini dan memperluaskan rantaian nilai melalui pembangunan industri hiliran seperti petrokimia dan industri berasaskan gas.
“Antara kejayaan kita dalam usaha ini adalah pengoperasian kilang methanol milik kita sendiri di Bintulu.
“SGR disasarkan untuk menjana RM120 bilion output untuk tempoh 10 tahun akan datang di samping menarik pelaburan bernilai RM300 bilion dalam pembangunan rantaian nilai gas asli kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena sambutan perayaan Hari Kebangsaan 2025 bertemakan ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantun’ di sini hari ini.
Hadir sama Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Abang Johari berkata dari segi tenaga boleh diperbaharu, Sarawak menyasarkan untuk menjana tenaga hijau sebanyak 15 GigaWatt menjelang 2035 sebagai langkah untuk menjadikan Sarawak sebagai bateri ASEAN yang dapat menarik lebih banyak pelaburan untuk industri hijau.
Beliau berharap inisiatif untuk mewujudkan grid tenaga ASEAN akan dibincangkan antara pemimpin-pemimpin ASEAN pada sidang kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober depan di Kuala Lumpur.
Katanya, peranan Sarawak dalam pembangunan tenaga telah diiktiraf dalam kenyataan bersama oleh Perdana Menteri dengan Sultan Brunei semasa Rundingan Pemimpin Tahunan Malaysia-Brunei ke-26, pada hari Rabu yang lepas.