
MIRI: Sarawak kekal sebagai contoh terbaik keharmonian kaum apabila rakyat pelbagai bangsa dan agama dapat hidup bersama dalam suasana saling menghormati dan bekerjasama, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian pada Majlis Makan Malam Gala Tahun Baharu Cina 2026 anjuran Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Bahagian Miri, di sini semalam.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan atas jemputan menghadiri majlis berkenaan serta mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Cina di Miri dan seluruh Sarawak.
“Malam ini, kita menyambut Tahun Kuda dengan hati yang terbuka dan penuh keyakinan. Dalam budaya Cina, Kuda melambangkan kekuatan, ketabahan dan kejayaan. Ia juga menggambarkan tenaga, semangat serta keberanian untuk mara ke hadapan dengan pantas dan penuh tekad.
“Inilah sifat-sifat yang akan memacu Sarawak ke arah masa depan yang lebih cerah,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa keistimewaan majlis tersebut bukan sekadar pada hidangan dan persembahan, tetapi pada semangat perpaduan yang dizahirkan apabila rakyat pelbagai kaum, agama dan latar belakang berhimpun sebagai satu komuniti.
“Dalam dunia yang sering kelihatan berpecah-belah, Sarawak berdiri sebagai contoh cemerlang bagaimana masyarakat majmuk boleh hidup dalam harmoni, saling menghormati dan bergerak maju bersama. Inilah cara Sarawak, inilah identiti kita,” ujarnya.
Beliau turut mengiktiraf sumbangan besar masyarakat Cina dalam pembangunan negeri sejak zaman awal perdagangan sehingga kini sebagai peneraju dalam bidang perniagaan, pendidikan, teknologi dan profesional.
Menurutnya, semangat keusahawanan, daya tahan serta komitmen masyarakat Cina telah membantu membentuk ekonomi Sarawak dan memperkayakan landskap sosial negeri.
Oleh Liong Chai Ling