
PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak menegaskan acara utama negeri, termasuk festival hiburan, makanan dan kebudayaan, akan terus dianjurkan secara berskala penuh walaupun terdapat saranan berjimat cermat.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran acara itu bertujuan memberi pengalaman terbaik kepada orang ramai serta mempromosikan warisan dan produk tempatan.
“Apabila kita menganjurkan sesuatu acara, ia mesti dilaksanakan secara bersungguh-sungguh kerana tujuannya adalah untuk orang ramai.
“Kita mahu mereka menikmati pengalaman sepenuhnya, bukan sekadar separuh jalan. Justeru, ia tidak wajar dilaksanakan secara ala kadar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas sidang media pelancaran persembahan Great British Circus, di bangunan Baitulmakmur II, hari ini.
“Festival makanan dan kebudayaan memberi peluang kepada orang ramai mencuba hidangan tempatan serta mengenali budaya negeri, manakala acara muzik pula menampilkan persembahan terbaik daripada para artis,” jelasnya lanjut.
Abdul Karim menegaskan pendekatan berjimat cermat yang disarankan di peringkat Persekutuan tidak semestinya terpakai kepada Sarawak kerana kerajaan negeri mempunyai kaedah tersendiri dalam mengurus penganjuran program.
Katanya, konsep kesederhanaan lebih sesuai diterapkan dalam majlis rasmi seperti rumah terbuka, termasuk mengurangkan jumlah hidangan tanpa menjejaskan tujuan sambutan.
Kerajaan negeri dan agensi di bawahnya akan terus menilai pendekatan terbaik bagi memastikan penganjuran acara memberi impak maksimum kepada rakyat serta sektor pelancongan negeri.
Oleh Adele Rissa