Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Sarawak kehilangan seorang perwira
  • TEMPATAN

Sarawak kehilangan seorang perwira

Utusan Sarawak 5 years ago
PENGHORMATAN TERAKHIR… Datuk Aidi Ismail mewakili Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang bekas Sub Inspektor Ngalinuh Bala di kediaman mendiang di Kampung Lusut di Lambir, Miri, semalam.

MIRI : Pahlawan negara, Sub Inspektor Ngalinuh Bala, yang pernah bertempur dengan sekumpulan pengganas komunis dalam serangan hendap di Sibu pada 1972, meninggal dunia di Hospital Miri di sini, kelmarin.

Anak lelakinya, Elvis Bala, 49, berkata bapanya Ngalinuh, 79, meninggal dunia pada jam 6.47 petang akibat diabetes dan kegagalan buah pinggang.

“Bapa dirawat di hospital pada 12 Jun lalu namun keadaannya semakin tenat dan beliau disahkan meninggal dunia kelmarin.

“Kami sangat merasai kehilangan mendiang. Semasa beliau dirawat di hospital kami adik -beradik menjaganya siang dan malam mengikut giliran,” katanya ketika ditemui media di kediaman mereka di Kampung Lusut di sini.

Sebagai anak seorang pahlawan, Elvis berkata, beliau sangat berbangga dengan pencapaian bapanya seorang pejuang tanah air.

“Kami sangat bangga dengan apa yang telah beliau lakukan, baik dia sebagai bapa kami atau pun sebagai seorang wira negara.

“Saya juga berjanji akan menceritakan apa yang telah beliau buat kepada anak-anak kami dan cucu,” katanya.

Mendiang Ngalinuh Bala berbangsa Kelabit meninggalkan seorang balu, Sinah Ngalinuh Bala, 73, lima orang anak, sembilan orang cucu dan seorang cicit.

Mendiang mula berkhidmat pada 14 Januari 1961 sebagai anggota polis sebelum bersara daripada perkhidmatan itu pada 31 Disember 1995.

Beliau terbabit dalam pertempuran dengan sekumpulan pengganas komunis dalam serangan hendap pada 29 April 1972.

Ngalinuh yang pada ketika itu berpangkat Koperal, bersama empat orang anggota, ditugaskan mengiringi pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR) yang membawa bahan letupan untuk pemecahan batu dari Batu 14 ke kuari Mubal Batu 54 Jalan Ulu Oya, Sibu.

Semasa dalam perjalanan, mereka diserang hendap oleh sekumpulan pengganas komunis.

Ngalinuh dengan berani menyerbu ke tempat musuh sambil menggulingkan badannya dari satu tempat ke satu tempat sehingga akhirnya beliau dapat membunuh salah seorang pengganas komunis.

Malangnya, beliau mendapat kecederaan di paha kanan akibat terkena tembakan pihak musuh.

Semangat keperwiraan Ngalinuh bukan sahaja menyelamatkan nyawa pekerja JKR dan anggotanya malah juga berjaya mengusir musuh tersebut dari kawasan pertempuran.

Dengan keberanian dan pengorbanannya, beliau dikurniakan Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) oleh Seri Paduka Yang DiPertuan Agong Ke V, Al-Sultan Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah pada 6 Julai 1972.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail hadir memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Ngalinuh Bala di kediaman mendiang, semalam.

“Saya bagi pihak Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang. Kehilangan beliau sebagai seorang pahlawan yang telah dikurniakan SP bukan sahaja dirasai ahli keluarga tetapi juga negara khususnya pasukan polis.

“Beliau telah banyak berjasa kepada negara khususnya kepada negeri Sarawak,” kata Aidi ketika ditemui media selepas memberi penghormatan terakhir  kepada mendiang.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Lim Meng Seah.

Aidi berkata, jasad mendiang  akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kristian SIB Lambir pada jam 2 petang Jumaat ini. Jasad mendiang  akan dikebumikan mengikut istiadat pengebumian Negeri.

“Beliau layak menerima penghormatan penuh dan kita telah berurusan dengan pihak negeri,” katanya.

Katanya, jasad mendiang tidak akan diletakkan di Makam Pahlawan di Kuching.

“Mengikut keputusan yang telah dibuat oleh ahli keluarga mendiang, mendiang akan dikebumikan di Miri dan kita penuhi permintaan mereka,” katanya.

Continue Reading

Previous: 27 NGO terima MRP bernilai RM170,000
Next: Kelompok setinggan semakin menurun

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.