
BALIKPAPAN: Hubungan strategik antara Sarawak dan Kalimantan Timur terus diperhebat menerusi penganjuran Karnival Jaringan Sarawak di Balikpapan, yang dirasmikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan semalam.
Acara ini menjadi platform penting untuk memperkukuh kerjasama dua hala melibatkan pelbagai sektor seperti ekonomi, pendidikan, pelancongan kesihatan dan pembangunan bandar mampan selaras dengan matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Karnival Jaringan Sarawak bukan sekadar pameran perdagangan malah mencerminkan komitmen Sarawak dalam menyokong pembangunan Ibu Kota Nusantara (IKN) serta memperluas keterhubungan rentas Borneo melalui jaringan pelaburan, inovasi dan kolaborasi serantau.
Tumpuan turut diberikan kepada kerjasama dalam pembelajaran digital merentas sempadan, pelancongan perubatan serta reka bentuk bandar hijau, modular dan berdaya tahan.
Kerajaan Sarawak turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Kalimantan Timur dan rakan strategik di Indonesia atas sokongan terhadap kejayaan acara ini yang diyakini mampu memperkukuh jaringan masyarakat dan pasaran serantau.
Hadir sama, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Ripin Lamat dan Timbalan Setiausaha (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Muhammad Abdullah Zaidel.
-UKAS