DALAT: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti sedang mengkaji pendekatan holistik dalam pembinaan Taska, Tadika dan pusat jagaan bawah satu premis.
Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pendekatan ini mampu menjimatkan kos pembinaan kerana fasiliti seperti taman permainan, ruang makan dan ruang aktiviti boleh dijadikan kemudahan gunasama.
“Selain menjimatkan kos, apabila kanak-kanak berkongsi taman permainan serta kemudahan-kemudahan lain, ini mampu memupuk nilai toleransi, bertanggungjawab dan kerjasama dalam kalangan kanak-kanak.
“Bagi ibu bapa pula, konsep ini akan memudahkan urusan penjagaan dan pendidikan anak-anak, dengan mengurangkan kos dan masa yang diperlukan untuk menghantar anak-anak ke lokasi yang berbeza,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen SeDidik ke-33 2024 Zon Mukah di Kompleks Kebajikan Dalat hari ini.
Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat berkata, banyak kajian telah menunjukkan bahawa pelaburan dalam pembangunan awal kanak-kanak (ECD) memberikan pulangan tinggi, bukan sahaja kepada individu tetapi juga kepada masyarakat.
Program ECD yang berkualiti, katanya, akan meningkatkan hasil daripada segi kesihatan, pendidikan, dan kemahiran sosial-emosi, yang akhirnya akan membawa kepada produktiviti lebih tinggi dan meningkatkan kesejahteraan komuniti.
“Sehingga 31 Oktober 2024, terdapat sebanyak 2,718 Tadika dan 242 Taska yang berdaftar di Sarawak, dengan jumlah 73,302 kanak-kanak berumur 6 tahun dan ke bawah.
“Berdasarkan statistik Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), peratusan kanak-kanak Tahun 1 pada 2024 yang telah menghadiri Tadika adalah 98.81 peratus berbanding 98.71 peratus pada 2023,” jelasnya.
Beliau turut menyatakan bahawa kementerian akan terus komited untuk memastikan 100 peratus akses kepada pendidikan awal kanak-kanak menjelang 2030.
“Melalui SeDidik, milik kerajaan negeri, mempunyai agenda meningkatkan akses, ekuiti dan kualiti pendidikan awal terus menjadi keutamaan.
“Usaha ini adalah bagi memastikan sumber manusia berkualiti bagi masa depan Sarawak dan negara kita Malaysia,” katanya.
Oleh TARANI LANTING