
KUCHING: Jawatankuasa khas sedang mengkaji semula Ordinan Perkapalan Saudagar Sarawak 1960 bagi memastikan undang-undang tersebut mencerminkan keperluan semasa dan masa depan industri maritim, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Lee Kim Shin.
Beliau berkata ordinan tersebut yang berkuat kuasa sejak 1960, ketika ini memberikan kuasa tertentu kepada Sarawak, termasuk perkara berkaitan perkapalan pesisir pantai seperti operasi vesel dalam perairan negeri ini.
“Kita mahu lebih banyak kuasa diberikan kepada Sarawak seperti pemeriksaan kapal. Ini penting untuk mengukuhkan pengawasan dan melancarkan operasi perkapalan,” katanya kepada wartawan selepas merasmikan Hari Maritim Sarawak di sini hari ini.
Lee berkata jawatankuasa kajian semula itu melibatkan kedua-dua pihak berkuasa negeri dan agensi Persekutuan untuk memastikan pindaan yang dicadangkan bukan sahaja relevan untuk Sarawak tetapi juga selaras dengan kerangka maritim Malaysia secara keseluruhan.
“Kami sedang mengkaji undang-undang ini secara terperinci. Pada peringkat ini, saya tidak boleh mendedahkan semua maklumat kerana jawatankuasa ini dan Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak sedang menjalankan kajian mereka. Cadangan peraturan baharu akan dibentangkan sebaik sahaja kajian selesai,” katanya.

Pada 10 Julai lepas, kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan (MOT) secara rasmi telah menubuhkan Jawatankuasa Semakan dan Pembaharuan Undang-Undang Maritim Malaysia (MLRRC).
Penubuhan jawatankuasa itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk membina sistem perundangan maritim negara yang moden, progresif dan responsif terhadap landskap perdagangan maritim yang semakin kompleks.
Fasa pertama tugasan Jawatankuasa MLRRC akan memberi tumpuan kepada enam instrumen perundangan utama iaitu Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 [Ord. 70/1952]; Ordinan Perkapalan Saudagar 1960 (Sabah) [Ord. No. 11/1960]; dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1960 (Sarawak) [Ord. No. 2/1960].
Instrumen lain adalah Akta Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang 1955 [Akta 140], Akta Pihak Berkuasa Pelabuhan 1963 [Akta 488], dan Akta Pelabuhan (Penswastaan)1990 [Akta 422].
-Bernama