
KUALA LUMPUR: Kerajaan Sarawak akan mengkaji kemungkinan memperluas pelaksanaan dasar pendidikan percuma kepada pelajar anak Sarawak yang menuntut di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) milik Kerajaan Persekutuan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata perkara itu sedang diteliti bagi menentukan kaedah terbaik untuk membolehkan pelajar dari negeri ini turut menikmati manfaat sama seperti pelajar di universiti milik kerajaan negeri.
“Memang kita akan kaji kaedahnya kerana universiti awam dibiayai dan diuruskan oleh Kerajaan Persekutuan, jadi bukan mudah untuk kita terus campur tangan dalam pengurusannya.
“Tapi kita sedang cari cara yang sesuai supaya anak Sarawak yang menuntut di universiti ini juga boleh dibantu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi Townhall bersama Premier Sarawak sempena Lan Berambeh Anak Sarawak 2025 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.
Menurut Abang Johari, kerajaan negeri sebelum ini telah mengumumkan pelaksanaan pendidikan percuma di universiti milik kerajaan Sarawak bermula 2026, termasuk Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Universiti Teknologi Swinburne, Kampus Sarawak, Universiti Curtin Malaysia, dan Kolej Universiti i-CATS.
Beliau menjelaskan, langkah memperluas dasar itu ke IPTA di bawah Kerajaan Persekutuan memerlukan penelitian rapi kerana melibatkan dasar dan struktur pentadbiran yang berbeza.
“Buat masa ini, kita teruskan bantuan sedia ada termasuk pemberian wang saku sebanyak RM1,200 kepada pelajar Sarawak di universiti awam. Pada masa sama, kita kaji kaedah baharu yang lebih sesuai untuk bantu mereka,” jelasnya.
Dalam pada itu, Premier turut memberi bayangan bahawa pengumuman lanjut mengenai inisiatif pendidikan itu akan dibuat dalam pembentangan Belanjawan Negeri Sarawak bulan depan.
Oleh Shahrul Qaizat